Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal diramalkan akan memenangi jawatan Ketua Armada Nasional tanpa bertanding bagi menggantikan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Salah seorang calon jawatan itu yang dilucutkan kelayakan bertanding, Razalif Mohd. Zain berkata, Fayhsal tidak akan berdepan pertandingan empat penjuru sebelum ini yang dijadual berlangsung bulan depan.

Ini kerana kata bekas Ketua Armada Cawangan Sea View Park di Bahagian Bukit Bendera, Pulau Pinang itu, hanya akan tinggal seorang calon pada saat-saat nanti yang bertanding.

Jelas usahawan berjaya itu, selepas beliau dan Syed Saddiq tidak layak bertanding, calon lain sedia iaitu Exco Armada, Muzzammil Ismail didakwa akan menarik diri menjelang pemilihan parti.

“Tapi untuk pengetahuan semua, Muzzammil akan umum penarikan diri dan sebab dia telah diberikan jawatan. Jadi beliau pun bukan berkhidmat untuk Armada, beliau perlukan jawatan dalam politik dan kewangan.

“Itu sahaja cerita dia. Saya tidak boleh umum jawatan itu dan tunggulah lepas pertandingan nanti. Fayhsal akan menang tanpa bertanding.

“Jadi kalau beliau menang tanpa bertanding, apa yang dia nak bawa. Beliau pun tidak ada pengikut sendiri dan moto serta visi. Malah beliau dia baharu sahaja berkempen sebagai calon. Jadi saya kata Armada lebih teruk daripada apa yang kita jangkakan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

Temubual Malaysia Gazette bersama Presiden Metamorphosis Medical Products, Razalif Mohamad Zain di Hotel MITC, Melaka. foto FAREEZ FADZIL, 01 JULAI 2020.

Pada Januari lalu, Razalif telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Armada atas keyakinan terhadap kesuburan demokrasi dalam Bersatu yang tidak mencantas golongan muda bertanding jawatan tertinggi walaupun kurang berpengalaman.

Ketika itu pertandingan hanya melibatkan tiga penjuru iaitu penyandang, Syed Saddiq, Muzzammil dan beliau.

Namun Razalif dilucutkan kelayakan bertandingan atas faktor tidak cukup setahun menjadi ahli Bersatu walaupun beliau mendakwa telah menjadi ahli parti itu di awal penubuhan pada tahun 2016.

Selepas dilucut kelayakannya, Fayhsal turut menawarkan diri untuk jawatan sama pada Mac lalu manakala Syed Saddiq digugurkan keahlian daripada Bersatu pada 28 Mei lalu atas alasan duduk di bangku pembangkang ketika persidangan pembukaan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Awal bulan ini, Muzzammil pula mencetuskan kontrovesi apabila suratnya kepada Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor tersebar untuk memohon dipertimbangkan jawatan sebagai ahli lembaga pengarah agensi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Wan Ahmad Fayhsal telah memulakan kempen merebut jawatan Ketua Armada Nasional bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Faizal Azumu (tengah) dan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd. Harun (kiri). Foto Facebook Wan Ahmad Fayhsal.

Sementara itu, Razalif turut mempertikaikan pendirian Fayhsal yang juga Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa Bersatu untuk bertanding jawatan Ketua Armada.

Jelas beliau ini kerana Fayhsal pada mulanya beria-ia memberitahu tidak akan melawan Syed Saddiq apatah lagi beliau adalah Pegawai Khas kepada bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

“Masa itu pertandingan antara saya, Syed Saddiq dan Muzzammil. Bila nama saya terkeluar, baru Wan Fayhsal masuk.

“Sebenarnya Gayhsal adalah Pengurus Kempen untuk Syed Saddiq yang bawa bekas Ketua Armada itu ke mana sahaja dan beliaa merupakan pegawai khas Syed Saddiq.

“Bila saya kena tendang, Fayhsal pula tawar diri sebagai calon. Sebelum itu bila ditanya, beliau beritahu tidak akan bertanding dan tidak akan lawan bos dan sekarang dia lawan pula,” katanya.

Razalif turut menjangka Armada akan menjadi lebih teruk pada masa akan datang berbanding di bawah kepimpinan Syed Saddiq.

“Saya boleh cakap kerana ketika pertandingan saya dengan Syed Saddiq, dua calon lain tidak mahu bertanding dan mereka sendiri ada dalam Exco Armada.

“Masa itu jika mahu hendak bantu Armada kerana tidak usulkan kepada Syed Saddiq ketika itu sebagai Ketua Armada Nasional untuk buat pelbagai program.

“Dan kenapa hendak keluar dari pasukan Exco Armada untuk menawar diri dalam pertandingan. Kalau tidak keluar daripada Exco, mereka boleh buat terbaik kerana berada dalam Exco,” katanya. – MalaysiaGazette