Pengguna yang tidak menjelaskan bayaran secara jangka panjang akan disenarai hitam dalam CTOS dan menyebabkan penilaian negatif semasa mereka memohon pinjaman.

PETALING JAYA – Indah Water telah mendapatkan perkhidmatan 38 agensi pemungut hutang untuk mengejar bayaran daripada pengguna perkhidmatan pembentungan seluruh negara.

Sinchew Daily melaporkan, nama pengguna isi rumah yang mempunyai tunggakan melebihi enam bulan dan pengguna komersial yang mempunyai hutang lebih tiga bulan akan diserah kepada agensi tersebut.

Selain itu, pengguna yang tidak menjelaskan bayaran secara jangka panjang akan disenarai hitam dalam CTOS dan menyebabkan penilaian negatif semasa mereka memohon pinjaman.

Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Indah Water Konsortium (IWK), Shahrul Nizam Sulaiman berkata, mereka yang berhutang lebih daripada dua tahun akan menerima surat peguam yang meminta mereka menjelaskan bayaran dalam tempoh yang ditetapkan.

Berdasarkan surat yang dihantar IWK, mereka yang gagal menuruti arahan pembayaran dalam surat yang dikeluarkan IWK akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk ditamatkan perkhidmatan pembentungan air, malahan bekalan air.

Ditanya jumlah pengguna yang berhutang dengan IWK, Shahrul Nizam berkata, peratus kutipan yuran pembentungan telah mencecah 90.1 peratus.

Dalam pada itu, jurucakap IWK berkata, pengguna yang mahu nama mereka “diputihkan” bukan sahaja perlu menjelaskan semua hutang, malahan perlu membayar yuran pentadbiran supaya nama mereka dikeluarkan daripada senarai hitam.

Jurucakap itu justeru menasihatkan pengguna supaya menjelaskan bayaran sebelum nama mereka disenarai hitam.

“Bayaran pembentungan kami adalah rendah iaitu RM8 sebulan,” katanya. – MalaysiaGazette