Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan agar mengelak daripada berlaku penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan anggota serumah terutamanya sesama ahli keluarga.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah mengingatkan supaya meminimumkan bilangan individu yang menjemput ahli keluarga dan pengembara di pintu masuk antarabangsa lapangan terbang.

“Elakkan bersentuhan dan pakai pelitup muka setiap masa sepanjang perjalanan. Sekiranya terdapat individu yang bergejala dalam kalangan ahli keluarga atau rakan serumah kepada pengembara, mereka dikehendaki mendapatkan rawatan segera.

“Mereka yang bergejala juga sewajarnya mengambil inisiatif supaya duduk di rumah dan amalkan kuarantin di rumah masing-masing sambil mengamalkan penjarakan yang selamat dengan ahli keluarga atau rakan serumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru semua individu di bawah pengawasan dan pemantauan di rumah (home surveillance) dikehendaki sentiasa mengamalkan langkah–langkah keselamatan yang ditetapkan dalam Garis Panduan Pengurusan Covid-19 di Malaysia No.5/2020 (Annex 10a dan 10b: Home Assessment Tool).

Menurut Noor Hisham, antara syarat yang perlu dipatuhi oleh individu bawah pemantauan adalah sentiasa berada di rumah sepanjang dalam tempoh pengawasan dan mengehadkan pelawat atau tetamu yang datang.

Katanya, setiap pelawat yang menziarahi mereka perlu direkodkan dan dikemukakan kepada pihak kesihatan sekiranya diminta dan perlu memastikan jarak dengan mereka yang sihat (iaitu termasuk ahli keluarga) sekurang-kurangnya satu meter.

“Sekiranya anda bergejala, sentiasa pakai alat pelitup separuh muka (penutup hidung dan mulut), jika tidak tutup mulut dan hidung anda menggunakan tisu apabila batuk atau bersin dan sentiasa amalkan adab batuk yang baik.

“Sekiranya perlu keluar rumah (misalnya untuk ke klinik) pakai pelitup muka dan elak ke tempat-tempat yang sesak, elak penggunaan kenderaan awam, perkongsian peralatan makanan dan penjagaan diri seperti berus gigi dengan individu serumah yang lain.

“Selain itu, pengembara yang kuarantin diri juga disarankan mencuci peralatan makanan yang digunakan dengan air dan sabun sebelum menggunakannya semula sementara memastikan pengudaraan rumah dalam keadaan baik dengan membuka tingkap,” tegas beliau.-MalaysiaGazette