Foto rakaman CCTV

KUALA LUMPUR – Tidak berperikemanusian dan kejam. Itulah perilaku seorang lelaki yang membunuh tiga ekor kucing dengan cara melemaskannya di dalam mesin basuh di sebuah kedai dobi layan diri di Kepong di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada 9.30 pagi tadi melalui seorang wanita berusia 39 tahun.

“Wanita itu memaklumkan kejadian berkenaan berlaku semasa dia datang ke dobi untuk membasuh baju namun menjumpai tiga ekor kucing yang sudah mati di dalam tiga mesin basuh berasingan.

“Wanita berkenaan kemudiannya menghubungi serta melaporkan kejadian itu kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Arifai berkata siasatan lanjut menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kegiatan itu dilakukan seorang lelaki yang bertindak memasukkan tiga ekor kucing berkenaan di dalam mesin basuh pada pukul 5.30 pagi.

Beliau berkata siasatan lanjut dirujuk kepada Pejabat Veterinar Shah Alam untuk tindakan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.

— BERNAMA