Suspek utama (berbaju kelabu) ditahan bersama beberapa warga asing atas dakwaan merogol dan melacurkan anak sendiri ketika direman di Mahkamah Kajang pada 14 Julai lalu.

KUALA LUMPUR – Setinggi-tinggi tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

Itulah nasib seorang lelaki yang lari menyembunyikan diri namun berjaya ditahan polis ekoran kejadian merogol dan melacur anak sendiri.

Lelaki berkenaan yang merupakan suspek utama diburu polis kerana didakwa merogol anak kandungnya berusia 13 tahun dan menjadikannya sebagai pemuas nafsu serta melacurkannya kepada warga asing berjaya ditahan reman selama seminggu bermula hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, suspek utama lelaki Cina berusia, 43 tahun itu ditahan polis hasil risikan dan maklumat di Pandan Indah semalam.

Manakala lima lagi suspek iaitu empat lelaki warga Pakistan dan seorang warga Bangladesh disyaki menjadi pelanggan anak perempuan suspek utama itu yang dijadikan pemuas nafsu tanpa bayaran turut ditahan di Batu 9, Cheras dan Kajang semalam.

Katanya, pagi tadi, kesemua enam suspek berkenaan berusia antara 20 hingga 43 tahun itu termasuk bapa mangsa dibawa dengan tangan bergari ke Mahkamah Majistret Kajang untuk proses reman bagi membantu siasatan polis.

“Majistret membenarkan kesemua suspek direman seminggu sehingga 20 Julai ini untuk membantu siasatan kes tersebut yang disiasat dibawah Seksyen 376(B) KK, Seksyen 372KK & Seksyen 43(1)(b) Akta kanak-kanak 2001.

“Siasatan diteruskan untuk mengesan saspek saspek yang masih bebas dan sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kes, sila hubungi mana-mana balai yang berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes, ASP Mohd Radzee b. Jamudi di talian 019-6655811 @ 03-89114222,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan Sabtu lalu, polis menegaskan pihaknya  menyiasat kes seorang bapa yang didakwa telah memaksa anak kandungnya berusia 13 tahun melayan kehendak seks lebih 20 pelanggan di rumahnya bermula pertengahan tahun 2019 sehingga Februari tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, siasatan itu dijalankan berdasarkan laporan seorang pengadu yang mendakwa anak saudarnya dirogol dan dilacurkan oleh saspek ketika mangsa berusia 10 tahun.

Bagaimanapun, bermula pertengahan 2019 hingga Februari 2020, mangsa telah dipaksa oleh saspek untuk melayan seks lebih 20 orang pelanggan yang dibawa oleh saspek.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Polis siasat bapa rogol dan lacurkan anak berusia 13 tahun

1 Komen

Comments are closed.