Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin bercakap pada sidang media ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 14 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Teka-teki mengenai status 11 ahli Parlimen PKR yang keluar parti pada Februari lalu bakal terjawab.

Menurut bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, kesemua mereka yang keluar parti itu sedang menunggu pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berakhir dan barulah proses menyertai parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu boleh dilakukan.

“Kita secara kumpulan belum (lagi ahli Bersatu) tapi tengah perhalusi kaedah yang kita akan sertai Bersatu. Kita tunggu pemilihan parti berakhir dan juga AGM (Mesyuarat dan Perhimpunan Agung tahunan) mereka.

“Masih menunggu lagi (proses keahlian),” katanya yang juga wakil wanita Perikatan Nasional (PN) dalam sidang media hari ini.

Status Zuraida mahupun Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masih kabur apabila bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata tidak akan menubuhkan parti baharu mahupun menyertai Bersatu secara sah.

Justeru itu katanya, terdapat kaedah yang perlu diperhalusi bagi kesemua mereka diterima untuk berada di bawah naungan Bersatu.

“Cuma dari segi teknikal, kita masih perhalusi lagi perkara ini dan kita akan bersama dalam Bersatu. Cuma kaedahnya tengah diperbincangkan,” jelasnya.

Bagaimanapun, kesemua Ahli Parlimen PKR yang keluar parti itu diletakkan ‘Bersatu’ dalam status parti mereka di Dewan Rakyat.

“Dalam Dewan Rakyat mereka meletakan kami dalam kelompok Bersatu, jadi itu kami terima,” katanya lagi.

Ditanya mengenai desas desus kumpulan yang menyokong Mohamed Azmin akan menubuhkan parti baharu, Ahli Parlimen Ampang itu berkata cadangan itu tidak praktikal.

“Dalam masa yang singkat ini saya rasa tidak praktikal untuk kita tubuhkan parti baharu kerana sekurang-kurangnya dan selewatnya-lewatnya dalam masa tiga tahun.

“Itu masa yang tidak praktikal untuk tubuh parti baru untuk menghadapi PRU-15,” tambah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu lagi.

Pada 24 Februari lalu, sekumpulan 11 ahli Parlimen PKR mengisytiharkan keluar parti dan meninggalkan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk sebuah blok bebas di Parlimen.

Mereka termasuk Mohamed Azmin, Zuraida; Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian; Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar; Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman; Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon; Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar; Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju; Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin dan Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin. – MalaysiaGazette