Industri Latihan Pemanduan (ILP) Kenderaan Motor di seluruh negara dibenarkan beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara janji temu mulai 9 September ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sekolah memandu di seluruh negara dibenarkan untuk beroperasi mulai jam 7.30 pagi hingga 8.30 malam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Yaakob berkata, waktu kursus dan latihan pemanduan pula dibenarkan bermula dari jam 8.30 pagi hingga 8 malam.

Keputusan tersebut turut membabitkan kebenaran 100% kapasiti pekerja.

“Bagaimanapun, semua prosedur standard operasi (SOP) yang telah ditetapkan sebelum ini mestilah dipatuhi,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail berkata, Mesyuarat Khas Menteri- Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan juga bersetuju masjid dan surau meluaskan kapasiti solat Jumaat dan solat berjemaah mengikut saiz dan ruang solat.

”Pemantauan pihak berkuasa mendapati semua masjid dan surau serta jemaah telah mematuhi SOP yang ditetapkan, Alhamdulillah,” tambah beliau.

Menurutnya, kebenaran ini juga digunapakai di rumah ibadat agama-agama lain tetapi tertakluk kepada penjarakan sosial.

Bagi upacara keagamaan Kristian di gereja yang menjalankan pelbagai bahasa, mereka dibenarkan mengadakan upacara secara bergilir-gilir.

“Contohnya, pada hari Ahad ada gereja yang menggunakan pelbagai bahasa, seperti bahasa Inggeris atau Tamil, mengikut penganut-penganutnya. Jadi, gereja dibenarkan menjalankan upacara agama mengikut bahasa secara bergilir-gilir,” kata Ismail. – MalaysiaGazette