Dr Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan antara ratusan jemaah yang hadir menunaikan solat jenazah dan mengiringi perjalanan terakhir Cikgu Rosli Abd. Aziz di Masjid Besar Tanah Merah.

TANAH MERAH – Jenazah guru yang meninggal dunia akibat terjatuh dari bangunan sekolah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pondok Lama, di sini pagi ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin antara ratusan jemaah yang hadir menunaikan solat jenazah dan mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham Rosli Abd. Aziz di Masjid Besar Tanah Merah.

Allahyarham yang berusia 54 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat satu bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah semalam ketika sedang memeriksa sistem paip dan sinki sebagai persiapan untuk menerima kemasukan semula pelajar.

Artikel berkaitan: Guru maut terjatuh dari bangunan sekolah

Jenazah Allahyarham Rosli Abd. Aziz dikebumikan di Masjid Besar Tanah Merah, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah DSP Zainuddin Md Yusuf berkata kejadian berlaku pada pukul 12.30 tengah hari semasa Allahyarham yang sedang memijak kerusi plastik itu tiba-tiba tergelincir, lalu terjatuh dari balkoni.

Beliau meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala kerana terkena bucu longkang.

Allahyarham telah hampir 17 tahun mengajar matematik di sekolah berkenaan terjatuh meninggalkan seorang balu yang juga seorang guru di sebuah sekolah lain di daerah ini serta lima orang anak. – MalaysiaGazette