Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ketika hadir ke mahkamah untuk perbicaraan kes projek sistem solar sekolah luar bandar di Sarawak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 15 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes rasuah membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor yang masuk hari ke-17 hari ini menyaksikan pembelaan memulakan sesi soal balas saksi ke-15.

Ini merupakan kes rasuah pembekalan dan pemasangan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 buah sekolah di pedalaman Sarawak ketika itu melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Saksinya, Rayyan Radzwill Abdullah yang juga merupakan rakan perniagaan Saidi Abang Samsudin iaitu Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd memberitahu mahkamah, Rosmah sebenarnya tidak membuat kerja membantu kontraktor dalam mendapatkan projek kerajaan.

Saidi dikatakan mahu mendapatkan minit sokongan daripada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak melalui Rosmah bagi projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar hibrid untuk syarikatnya, Jepak Holdings.

Akberdin: Adakah anda bersetuju dengan kenyataan saksi anda di perenggan 12, yang mana Rosmah sebenarnya tidak membuat kerja bantu kontraktor dapatkan minit Perdana Menteri untuk apa-apa kontrak kerja kerajaan?

Rayyan: Setuju.

Pada kenyataan saksi itu, dakwa Rayyan, apabila telah gagal meyakinkan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Mahdzhir Khalid untuk memberikan projek solar kepada Jepak Holdings, Saidi dan dirinya telah membuat keputusan untuk mendapatkan seseorang lebih berpengaruh untuk membantu syarikat mereka.

Kata Rayyan, Saidi kemudian mengatakan hasrat mendapatkan bantuan Najib melalui Rosmah yang juga perlu perlu menggunakan khidmat pembantu khas Rosmah, Datuk Rizal Mansor.

Saidi kemudian dikatakan telah menelefon Rizal bagi satu pertemuan yang kemudian telah diadakan di Hotel Seri Pacific sekitar Oktober 2015.

Dalam pertemuan itu, Saidi telah menyampaikan hasratnya mahu meminta bantuan Rosmah mendapatkan minit mesyuarat projek itu namun Rizal telah menolak sambil memberitahu isteri Perdana Menteri tidak melakukan kerja sedemikian.

Prosiding masih lagi bersambung ketika ini di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Rosmah ketika ini sedang berdepan dengan dengan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Saidi bagi dan pemasangan tenaga solar.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rosmah sepatutnya dibicarakan bersama Rizal yang menghadapi empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah bagi pihak Rosmah berhubung projek berkenaan.

Namun pada 8 Januari lepas mahkamah melepas dan membebaskan Rizal daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan. –MalaysiaGazette