Abdul Wahid Omar

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah menubuhkan pasukan khas yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Wahid Omar bagi mencari kaedah terbaik memastikan kemandirian dan kemampanan kewangan Felda.

Pasukan ini telah mengadakan sesi libat urus dengan lembaga pengarah dan pengurusan kumpulan Felda, Felda Global Ventures serta pelbagai kumpulan berkepentingan bagi mendapat pandangan dan maklum balas berkaitan potensi dan penyelesaian isu-isu berkaitan organisasi ini.

Pasukan khas ini dijangka membentangkan hasil laporan pada Ogos 2020.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Kertas Putih Felda yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 April 2019 telah menggariskan pelbagai strategi untuk dilaksanakan dalam tempoh jangka pendek, sederhana dan panjang.

Antara strategi utama yang telah dan sedang dilaksanakan adalah menambah baik tadbir urus korporat, menangani masalah aliran tunai, merasionalisasi pelaburan dan kepentingan, memperkasa peneroka, mengukuhkan sistem perakaunan dan meningkatkan penglibatan dalam aktiviti hiliran.

”Secara keseluruhannya, kesemua strategi yang dirancang di bawah Pelan Pemulihan Felda telah dan sedang giat dilaksanakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang meminta Perdana Menteri menyatakan prestasi suku kedua Felda dan sejauh manakah perkembangan pelaksanaan Kertas Putih Felda.

Pelaksanaan kesemua strategi tersebut disokong melalui peruntukan kewangan termasuk pemberian jaminan kerajaan berjumlah RM6.23 bilion yang diberikan dalam tempoh empat tahun.

Peruntukan tersebut terdiri daripada Program Pembangunan Peneroka bagi mendapatkan hasil baharu berjumlah RM1 bilion, penyiapan projek terbengkalai Perumahan Generasi Baharu
Felda atau PGBF berjumlah RM250 juta, penghapusan faedah hutang kebun peneroka berjumlah RM2 bilion, pemberian pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil kepada peneroka berjumlah RM480 juta dan pemberian jaminan ke atas penstrukturan semula pinjaman Felda berjumlah RM2.5 bilion.

Mustapa berkata, di bawah Program Pembangunan Peneroka bagi mendapatkan hasil baharu atau PPP, Felda telah melaksanakan projek rintis di Felda Bukit Rokan di atas tanah seluas 77 ekar dengan lebih 300 orang peneroka terlibat dalam program ini yang melibatkan aktiviti penanaman sayuran dan cili secara fertigasi, ternakan arnab pedaging dan penanaman cendawan.

Pelaksanaan program PPP ini akan diperluaskan ke Felda Bukit Aping Barat, Felda Semenchu, Felda Chuping, Felda Kerteh 6, Felda Keratong 7 dan Felda Sahabat, antara program yang akan dilaksanakan adalah ternakan lembu pedaging, tanaman herba, tanaman kacang chanis dan tanaman rozel.

Bagi penyiapan projek terbengkalai Perumahan Generasi Baharu Felda atau PGBF, daripada 4,794 unit kediaman di 20 lokasi yang telah melepasi 70% siap, sebanyak 2,058 unit kediaman di 10 lokasi telah siap dibina dan mendapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan atau CCC.

Baki 2,020 unit kediaman di enam lokasi dijadual siap menjelang penghujung tahun 2020 serta 716 unit kediaman di 4 lokasi dijadual siap pada tahun 2021.

Tambahnya, bagi penghapusan faedah hutang kebun peneroka, Felda telah memuktamadkan lebih daripada 20,088 daripada 77,974 penyata hutang peneroka yang terlibat dengan program tanam semula.

”Proses memuktamadkan penyata hutang peneroka ini dijangka diselesaikan pada September 2020.

”Felda juga sedang berunding dengan Kementerian Kewangan bagi penerbitan sukuk berjaminan Kerajaan bagi melaksanakan penstrukturan semula pinjaman Felda,” ujarnya.

Bagi pemberian pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil kepada peneroka, kerajaan telah menyalurkan peruntukan melalui pinjaman sebanyak RM480 juta kepada Felda dengan kadar pinjaman 2% untuk diagihkan bagi membantu peneroka semasa tempoh pembangunan tanam semula. – MalaysiaGazette