Bayi yang ditemui masih mempunyai tali pusat dan bernyawa di dalam tong sampah.

KUALA NERUS – Seorang bayi perempuan yang masih bernyawa dan bertali pusat dijumpai di dalam sebuah tong sampah oleh orang awam di Pasar Kampung Teluk Ketapang, di sini malam tadi.

Menurut saksi yang enggan dikenali, dia menyedari kejadian tersebut ketika mahu menutup kedai runcitnya pada pukul 10.30 malam.

Pada mulanya dia menyangkakan ada kes tangkapan dadah selepas melihat orang kampung berkumpul, di kawasan berhampiran kedainya dan kemudiannya diberitahu penduduk kampung menjumpai seorang bayi yang masih hidup, selepas mereka mendengar tangisannya.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu.

Difahamkan ketika dijumpai, tubuh bayi tersebut dibalut dengan kain batik dan mempunyai kesan gigitan semut.

Abdul Rahim berkata, bayi itu kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuang bayi.

— BERNAMA