Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mei masih memberi kesan terhadap operasi pengeluaran di peringkat pertubuhan yang menjalankan aktiviti memproses getah.

Pengeluaran getah asli Malaysia menurun 39.2 peratus pada Mei 2020 kepada 21,044 tan metrik berbanding 34,616 tan metrik pada bulan sebelumnya.

Perbandingan tahun ke tahun turut menunjukkan penurunan sebanyak 52.7 peratus berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Pengeluaran getah asli yang berkurangan ini turut ditampung oleh stok bulan sebelumnya.

Situasi ini antara langkah pemulihan yang diambil bagi menangani kekurangan pengeluaran dan stok getah asli mula mencatatkan penurunan pada Mei 2020 sebanyak 8.2 peratus kepada 295,146 tan metrik berbanding 321,413 tan metrik pada April 2020.

Eksport getah asli Malaysia berjumlah 33,780 tan metrik, menurun sebanyak 16.8 peratus berbanding 40,596 tan metrik pada April 2020.

Menurutnya, destinasi utama eksport getah asli adalah China iaitu 50.4 peratus daripada jumlah eksport pada Mei 2020 diikuti Jerman (13.4%), Amerika Syarikat (5.2%), Turki (4.1%) dan Mesir (2.5%).

Sarung tangan getah masih menjadi eksport utama dengan nilai eksport pada Mei 2020 sebanyak RM2.13 billion berbanding RM1.98 billion pada April 2020.

Harga purata bagi Lateks Pekat merekodkan peningkatan kepada 432.16 sen sekilogram berbanding April 2020 (413.26 sen sekilogram).

Tambahnya, Getah Mutu Malaysia 20 (G.M.M. 20) turut meningkat kepada 476.13 sen sekilogram berbanding 472.64 sen sekilogram bagi tempoh yang sama.

Jumlah penggunaan getah asli di peringkat domestik ialah 39,692 tan metrik, meningkat sebanyak 10.5 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Pembuatan sarung tangan getah mendominasi industri pembuatan getah asli iaitu sebanyak 33,679 tan metrik atau 84.9 peratus daripada jumlah penggunaan domestik. – MalaysiaGazette