LONDON – Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba dilaporkan semakin hampir untuk melanjutkan kontrak di Old Trafford sehingga tahun 2025.

Beberapa media melaporkan, bintang antarabangsa Perancis itu dilihat berpuas hati dengan perancangan semasa United terutama dengan permulaan kemasukan Bruno Fernandes dalam pasukan.

Kontrak semasa Pogba ketika ini akan tamat pada Jun 2021.

Laporan turut mendakwa Pogba bakal ditawarkan gaji lumayan sehingga £300,000 seminggu.

Namun sejak musim lalu, dia sering dikaitkan ingin berhijrah ke Sepanyol untuk menyertai gergasi La Liga, Real Madrid.

Pada Ogos 2016, Pogba, 27, berhijrah ke Old Trafford dengan mencatat pembelian termahal dalam sejarah, iaitu £89 juta (RM466.3 juta).

Rekod perpindahan termahal sebelum ini dicatat Gareth Bale pada 2013 ketika dia meninggalkan Tottenham Hotspur untuk menyertai Real Madrid.

Nilai perpindahan Bale ialah £85 juta (RM445.4 juta).

Ketika di Itali Pogba memenangi kejuaraan Serie A sepanjang empat musim bersama kelab berkenaan. – MalaysiaGazette