Oleh: Noor Mohamad Shakil Hameed

INSIDEN seorang guru lelaki berusia 54 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat satu bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah, Tanah Merah ketika sedang memeriksa sistem paip dan sinki sebagai persiapan untuk menerima kemasukan pelajar baru-baru ini cukup menyayat hati.

Mengikut pihak polis, siasatan awal menunjukkan guru yang telah hampir 17 tahun mengajar matematik di sekolah berkenaan terjatuh pada ketinggian tiga meter semasa hendak memeriksa sistem paip dan sinki dan Allahyarham meninggalkan seorang balu yang juga seorang guru di sebuah sekolah lain serta lima orang anak.

Pasti ini satu kehilangan yang besar dan sukar diterima oleh ahli keluarga.

Kejadian ini wajar menarik perhatian semua pihak betapa tugas seorang guru di sekolah perlu ada hadnya.

Umum mengetahui guru sememangnya individu yang serba boleh dan bersedia serta mampu melaksanakan pelbagai tugasan di luar skop tugas hakiki mereka iaitu pengajaran dan pembelajaran.

Misalnya para guru selama ini seolah-olah sudah terbiasa dengan kerja-kerja perkeranian di samping tugas teknikal seperti penyelenggaraan terutamanya guru lelaki.

Kita memahami situasi perjawatan di sekolah yang terhad menyebabkan guru terpaksa melaksanakan pelbagai tugas lain seperti ini, namun ianya perlu ada had yang sewajarnya.

Tugas-tugas yang berbahaya, berisiko serta boleh mengancam keselamatan diri termasuk nyawa tidak sewajarnya dipikul oleh seorang guru sebaliknya perlu diserahkan kepada pakar yang sepatutnya.

Justeru sudah tiba masanya untuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melihat secara serius isu seperti ini demi kebajikan dan keselamatan para guru.

Biarlah para guru fokus sepenuhnya kepada apek pengajaran dan pembelajaran sebagai tugas hakiki mereka.

Untuk itu mahu tidak mahu perlu ada pelantikan jawatan yang
bersesuaian seperti penolong jurutera untuk menguruskan aspek penyelenggaraan segala fasiliti serta kemudahan prasarana fizikal di sekolah.

Hakikatnya, dengan jumlah bangunan serta prasarana yang banyak serta digunapakai pula oleh bilangan murid yang ramai menyebabkan terlalu banyak urusan penyelenggaraan fizikal
termasuk bangunan, air dan elektrik perlu diberi perhatian di sekolah secara berterusan, maka kita tidak boleh mengharapkan guru melakukan kerja-kerja seperti ini.

Dalam konteks ini, kekangan kewangan pihak sekolah pula menyebabkan sukar melantik kontraktor luar untuk urusan tersebut pada sepanjang masa.

Akhirnya para guru juga diminta membantu menguruskan perkara tersebut. Maka sebagai jalan penyelesaian jangka panjang, jawatan seperti penolong jurutera ini wajar diwujudkan di sekolah, dengan ini kita bukan saja dapat membantu mengurangkan beban tugas luar skop para guru, malah boleh juga mengurangkan perbelanjaan pihak kerajaan.

Hal ini kerana, jika ada penolong jurutera yang tetap kita dapat
melakukan proses penyelenggaraan secara teratur, berjadual dan berkala.

Ini akan membolehkan kita ambil langkah-langkah pencegahan sebelum sesuatu kerosakan berlaku atau dapat mengenalpasti segala kerosakan dengan cepat dan selesaikannya dengan segera.

Sebagai permulaan mungkin kita boleh mencadangkan pihak KPM berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melihat kemungkinan menempatkan penolong jurutera secara berpusat misalnya beberapa orang penolong jurutera untuk membantu beberapa buah sekolah yang terletak di lokasi yang
berhampiran.

Bila ada peruntukan perjawatan yang mencukupi kelak bolehlah
menempatkan seorang penolong jurutera di setiap sekolah.

Penambahan perjawatan ini memang akan meningkatkan perbelanjaan kerajaan dalam jangka masa pendek, tetapi impaknya kelak dapat menjaga kebajikan guru serta menjimatkan kos perbelanjaan penyelenggaraan pihak kerajaan dalam jangka masa panjang.

Semoga insiden ini menjadi peringatan kepada semua pihak agar kita ambil iktibar dan segera mencari jalan penyelesaian supaya kejadian seperti ini tidak berulang lagi.

Salam takziah kepada keluarga mangsa dan guru ini sememangnya seorang adiwira yang sangat berdedikasi dan wajar disanjungi atas khidmat bakti yang dicurahkan hingga ke akhir hayatnya.

Penulis adalah penganalisis isu-isu semasa.

1 Komen

  1. Ada tak rakyat fikir 2008 hingga 2018…kemana duit negara di bazirkan?

    Rakyat umumnya mesti dan patut tahu
    Duit negara diratah dan dibaxirkan puak umno

Comments are closed.