Gambar arkib

KUCHING- Tiga sektor ekonomi negara, iaitu pembuatan, pembinaan dan pertanian yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19, kini sudah beransur pulih, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, walaupun sektor pembinaan swasta masih bergelut tetapi kerja-kerja bagi projek kerajaan yang disambung semula telah membolehkan banyak syarikat pembinaan kembali beroperasi.

“Keseluruhannya ekonomi Malaysia masih menghadapi cabaran tetapi sudahpun ada tanda-tanda pemulihan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (Recoda) dan komuniti perniagaan negeri ini, di sini, hari ini.

Mustapa berkata, sektor pelancongan dan lain-lain sektor perkhidmatan termasuk perkhidmatan profesional dan sektor peruncitan mengalami kemerosotan yang amat teruk sepanjang tempoh pandemik berkenaan.

Menurutnya, walaupun sektor pelancongan domestik sudah menunjukkan sedikit pemulihan tetapi disebabkan pelancongan luar negara masih belum dibuka ia tidak dapat pulih sepenuhnya.

Selain itu, katanya, kadar pengangguran bagi bulan Mei juga semakin menunjukkan pemulihan iaitu 5.3 peratus di peringkat kebangsaan dan dijangka terus pulih bulan ini.

Sementara itu, Mustapa berkata beliau yakin dengan prospek kemajuan di Sarawak serta kerjasama baik antara kerajaan negeri dan pusat akan membawa kepada pembangunan yang lebih besar.

Katanya, tumpuan negeri Sarawak adalah kepada ekonomi digital dan kelestarian alam sekitar yang menjadi tonggak utama pembangunan negeri.

“Kerajaan negeri Sarawak juga telah menyediakan insentif dan pakej berjumlah RM2.5 bilion untuk membantu rakyat, khususnya rakyat kumpulan B40 dan perusahaan kecil dan sederhana di negeri ini, yang merupakan pakej terbesar berbanding negeri-negeri lain,” katanya.

Di samping itu, katanya, kerajaan negeri Sarawak juga mempunyai perancangan pembangunan perniagaan di perbatasan negara (perdagangan sempadan) dengan Indonesia dan Brunei, yang potensinya cukup besar apabila Indonesia memindahkan ibu kotanya dari Jakarta ke Kalimantan Timur.

“Syarikat luar negara termasuk dari Jepun dan Cina akan menambah pelaburan mereka di negeri ini dan bermakna sektor pelaburan di negeri ini akan berkembang pesat,” kata Mustapa.

— BERNAMA