Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Kluster baharu jangkitan pandemik Covid-19 berjaya dikesan di tiga lokasi berbeza di negara ini.

Ketua Pengarahnya datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ketiga-tiga kluster baharu itu masing-masing dikesan di sebuah tapak binaan di Sepang, sebuah restoran di Brickfields, Kuala Lumpur dan di jeti nelayan di Kuching, Sarawak.

Mengulas mengenai kluster di tapak binaan di Sepang, setakat jam 12 tengah hari ini, seramai 96 orang pekerja telah disaring, iaitu terdiri daripada sembilan warga negara Malaysia dan 87 bukan warga negara iaitu 63 warga Indonesia, 22 warga Bangladesh; sembilan rakyat tempatan dan dua warga Myanmar.

“Daripada jumlah saringan ini, 96 orang telah disampel dan keputusan persampelan setakat ini menunjukkan dua dikesan positif Covid-19 dan 94 adalah negatif, yang mana kluster ini melibatkan dua warga Indonesia yang merupakan kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-8739) dan satu warga Bangladesh merupakan kontak rapat kes yang dilaporkan pada hari ini.

“Manakala satu lagi kluster baharu dikesan KKM di sebuah restoran di Brickfields, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, iaitu hasil saringan rawak di lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah.

“Dalam kes berkenaan sehingga tengah hari ini, seramai 250 orang iaitu 14 orang pekerja restoran dan 236 orang pelanggan restoran telah disaring.

“Hasil keputusan mendedahkan dua dikesan positif Covid-19 manakala 248 lagi adalah negatif dan kluster ini melibatkan dua bukan warga negara, iaitu warga India yang merupakan kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-8666) dan kontak rapat kes yang dilaporkan pada hari ini,” katanya dalam kenyataan media perkembangan semasa Covid-19 yang dikeluarkan di Putrajaya petang ini.

Dalam pada itu, kluster terbaharu yang ketiga pula tambah beliau dikesan KKM di jeti nelayan di Kuching Sarawak.

Menurut Noor Hisham, setakat 12 tengahari tadi, seramai 25 orang nelayan telah disaring dan diambil persampelan.

“Hasil keputusan persampelan mendapati hanya dua kes dikesan positif Covid-19.

“Kluster ini melibatkan dua bukan warga negara, iaitu warga Indonesia yang merupakan kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-8736) dan kontak rapat kes yang dilaporkan pada hari ini.

“Punca jangkitan kluster bagi ketiga-tiga kluster baharu yang dikesan di Sepang, Brickfields dan Kuching sedang di dalam siasatan kami ,” ujar beliau.