Pemain Skuad Bawah-19 Tahun Negara (B-19), Mohd Aiman Afif Afizul, 19, bercakap sewaktu menjalani kem latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 20 JULAI 2020.

PETALING JAYA – Mohd Aiman Afif Afizul mengakui tercabar dengan kehadiran Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal ke dalam skuad Harimau Muda bawah 19 tahun menjelang kejohanan Piala Konfederasi Asia bawah-19 di Uzbekistan.

Bagaimanapun katanya, kehadiran perancang tengah yang pernah beraksi salah sebuah kelab Liga di Amerika Syarikat itu juga memberi persaingan sihat untuk diri dan rakan-rakan sepasukan lain untuk memantapkan lagi prestasi skuad.

“Keadaan latihan pasukan dalam keadaan baik yang mana semua pemain pasukan memberikan 100 peratus kerjasama sepanjang sesi fasa pertama latihan selama 15 hari ini.

“Memang saya rasa tercabar dengan kehadiran Wan Kuzri tetapi saya ingat kehadirannya dapat memberi persaingan yang sihatlah, semua pemain dapat membuktikan terbaik sepanjang sesi latihan nanti untuk kekal dalam skuad ini, bukan saya seorang sahaja,” katanya sebelum sesi latihan bermula di Wisma Latihan Persatuan Bola Sepak Malaysia di Kelana Jaya petang ini.

Justeru Mohd Aiman juga bersedia melakukan apa sahaja untuk memastikan prestasinya kekal terbaik dan membuktikan kepada pasukan layak kekal dalam skuad berkenaan nenti.

Ditanya mengenai Wan Ahmad Kuzri, beliau berkata, rakan sepasukannya itu adalah pemain yang baik, lincah dan memiliki teknik permainan terbaik.

“Malahan kelebihan yang dimiliki Wan Kuzri akan membantu pemain lain mempelajari dan bermanfaat sepanjang sesi latihan berkenaan dan juga fasa kedua Ogos ini.

‘Justeru bagi saya secara peribadi, berbanding bersama skuad Kedah dalam Piala Presiden, latihan bersama Harimau Muda jauh berbeza dan lebih baik.

“Saya berharap dapat kekal dalam pasukan ini dan membantu mereka dalam AFC,” katanya.-MalaysiaGazette