Al Jazeera

KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mendapati Al Jazeera International (M) Sdn Bhd tidak mempunyai Lesen Pengeluaran Filem dan tiada permohonan Surat Perakuan Penggambaran bagi dokumentari ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown.’

Kenyataan Unit Komunikasi Korporat FINAS memaklumkan maklumat itu diperoleh hasil siasatan awal terhadap syarikat tersebut berikutan penerbitan dokumentari terbabit yang telah disiarkan melalui saluran media sosial.

FINAS akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan terhadap syarikat itu di bawah Seksyen 22(1) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Pindaan 2013) kerana menjalankan aktiviti perfileman, iaitu pengeluaran filem dokumentari, tanpa lesen yang sah daripada FINAS.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani penularan pandemik COVID-19.

Polis dilaporkan telah memanggil pengendali Al Jazeera serta wartawan yang terlibat dalam penerbitan dokumentari itu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia.- BERNAMA