Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis hari ini telah memulakan siasatan bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab dalam insiden mural pemimpin utama negara yang diconteng dengan kata-kata kesat.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, pihaknya membuka kertas siasatan setelah menerima laporan polis daripada pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam jam 11.53 pagi di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam.

“Laporan polis ini menyatakan pada 20 Julai 2020 jam lebih kurang 10 pagi pihak MBSA telah dimaklumkan bahawa gambar mural pemimpin-pemimpin negara yang dilukis bagi menghargai peranan mereka dalam menangani isu pandemik Covid-19 telah diconteng oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Insiden itu didakwa berlaku di kawasan Komersil Taman Cahaya Alam U12 dan pihak PBT berkaitan telah bertindak membersih dan mengecat semula dinding berkenaan.

“Rentetan insiden itu dan laporan polis, kita akan menjalankan siasatan berkaitan kes ini di bawah Seksyen 504 dan 427 Kanun Keseksaan yang akan membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru beliau menyeru orang awam supaya memberi kerjasama memaklumkan kepada polis sekiranya terdapat sebarang maklumat boleh membantu siasat kes tersebut dengan menghubungi Asisten Superintendan Yong Meng Heng di talian 019-575 3399 atau balai berhampiran. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dua individu conteng mural dirakam CCTV?