Gambar hiasan

PIHAK kerajaan perlu memandang serius di atas isu berkaitan dengan masalah gangguan seksual yang dilihat kerap kali dilaporkan berlaku dalam negara kita.

Ini susulan sebuah laporan polis yang telah dibuat oleh seorang pelajar dari universiti awam tempatan berhubung dakwaan gangguan seksual yang dilakukan terhadap dirinya oleh seorang yang berpangkat profesor madya di universitinya.

Isu gangguan seksual ini bukan satu isu yang jarang kita dengar.

Hampir setiap tahun kita akan didedahkan dengan isu ini. Tidak
beberapa lama dulu, kita telah didedahkan dengan isu yang melibatkan masalah gangguan seksual yang dihadapi oleh peguam muda dan doktor pelatih.

Masalah  gangguan seksual ini juga berlaku terhadap golongan wartawan. Masalah gangguan seksual ini perlu dipandang serius kerana ia memberi kesan yang amat mendalam kepada diri mangsa dan kehidupannya.

Mangsa yang hadapi masalah gangguan seksual ini selalunya tidak dapat hidup dengan aman akibat daripada gangguan yang dihadapinya.

Tahap pemikiran dan emosi mangsa gangguan seksual akan terjejas dan ini akan menyebabkan mangsa tidak dapat
melakukan aktiviti harian seperti yang biasa dilakukannya.

Sekiranya tiada langkah diambil dari sekarang bagi membendungnya, masalah gangguan seksual ini akan terus
berlaku dan lebih ramai pihak lagi dalam negara kita yang berisiko menjadi mangsa.

Gangguan seksual ini boleh berlaku pada diri sesiapa pun tanpa mengira jantina mereka dan ia boleh berlaku di mana–mana tanpa mengira tempat dan masa.

Masalah gangguan seksual yang berlaku dalam negara kita perlu dipandang serius.

Selain daripada menggunakan pendekatan proses pendidikan bagi melahirkan kesedaran orang ramai terhadap isu gangguan seksual ini, negara kita juga perlu memiliki satu bentuk perundangan yang kuat terhadap isu berkenaan.

Perlu diketahui, pada masa kini tiada akta khusus untuk mengatasi masalah gangguan seksual yang berlaku. Mangsa gangguan seksual boleh mengambil langkah perundangan melalui beberapa jenis saluran seperti melalui Undang-Undang Buruh ataupun Kanun Keseksaan.

Untuk kakitangan awam, pihak kerajaan telah mewujudkan Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (Pindaan) 2002 dimana peraturan 4A(1) memperuntukkan bahawa seseorang pegawai awam dilarang melakukan gangguan seksual iaitu (a) Cubaan merapati/meminta layanan seksual; (b) melakukan perbuatan bersifat seksual menyebabkan seseorang yang waras tersinggung, terhina atau terugut.

Peraturan 4A (2) terbabit turut juga menyenaraikan bentuk gangguan seksual iaitu secara lisan, bertulis dan lain-lain ianya tidak terhad di tempat kerja/waktu kerja selagi mencemarkan imej Perkhidmatan Awam.

Gangguan seksual merupakan salah satu perlakuan yang dilarang mengikut Peraturan 4A Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Sekiranya seseorang Pegawai Awam Didapati telah melakukan Gangguan seksual, mereka Boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana telah melanggar peraturan terbabit.

Pada tahun 2005, pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah memperkenalkan satu pekeliling untuk penjawat awam iaitu ”Garis Panduan Mengendalikan Gangguan Seksual Di Tempat Kerja Dalam Perkhidmatan Awam”.

Pada tahun 2018 pula, pihak JPA telah mengeluarkan Pekeliling
Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2018 bertajuk “Garis Panduan Pengendalian Kes Gangguan Seksual Di Tempat Kerja”.

Kewujudan garis panduan ini memperkemaskan lagi sektor perkhidmatan awam kerana ia menjelaskan maksud gangguan seksual dan memberi huraian mengenai tindakan yang boleh dikenakan terhadap diri pelaku.

Pada penghujung tahun 2012, satu usul telah dikemukakan bagi mengenakan peraturan melarang ahli Parlimen daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang berunsur
seksisme.

Perenggan 4 dalam Peraturan Mesyuarat 36 dipinda dengan memasukkan ayat "atau membuat perkataan yang seksis’ selepas perkataan ‘biadap’.

Sekaligus menjadikan Peraturan Mesyuarat 36(4) di Parlimen berbunyi: “Adalah menjadi kesalahan bagi ahli-ahli Dewan yang menggunakan bahasa kurang sopan (biadap) atau membuat
pernyataan yang seksis”.

Disebabkan masalah gangguan seksual yang meluas bukan sahaja tertumpu dalam kalangan kakitangan awam, pihak Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah melancarkan “Kod Amalan untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan
Seksual di Tempat Kerja” pada tahun 1999 khusus untuk melindungi pekerja di sektor swasta.

Berdasarkan Kod Amalan tersebut, gangguan seksual dibahagikan kepada dua iaitu gangguan seksual secara langsung dan gangguan seksual secara tidak langsung.

Gangguan seksual secara langsung bermaksud pengenaan syarat berbentuk seksual ke atas pekerjaan atau istilahnya quid pro quo. Quid pro quo berlaku apabila sasaran dijangka akur dengan tingkah laku gangguan seksual kerana mengharapkan ganjaran seperti kenaikan pangkat atau mengelakkan daripada menerima ancaman yang lebih teruk.

Ia melibatkan pengaruh kuasa dimana majikan atau pegawai atasan mempunyai kuasa mengambil dan memberhentikan pekerja.

Jika pekerja itu tunduk kepada kehendak majikannya, dia akan dinaikkan pangkat atau menerima gaji yang lebih lumayan.

Walau bagaimanapun sekiranya pekerja tersebut menolak kehendak majikannya, dia akan kekal dengan kedudukan yang ada sampai bila- bila masa atau dibuang kerja.

Manakala gangguan seksual secara tidak langsung pula merupakan perlakuan yang dilakukan sama ada secara lisan, isyarat, visual, psikologi dan fizikal.

Bagi undang-undang buruh pula, penggunaan Seksyen 20(1) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 [Akta 177] boleh
digunakan sebagai pampasan (remedy) untuk mangsa.

Bermula 1 April 2012, pindaan terhadap Akta Kerja 1955 [Akta 265] telah dilakukan dengan memasukkan satu bahagian baru untuk gangguan seksual iaitu Bahagian XVA yang meliputi Seksyen 81A sehingga 81G.

Majikan dan kakitangan yang berhadapan masalah gangguan seksual di tempat kerja, akan dilindungi apabila majikan diwajibkan menyiasat aduan berhubung kes berkenaan melalui pindaan Akta Kerja 1955 [Akta 265] terbabit.

Jika pihak majikan gagal mematuhi arahan melaksanakan prosedur tatacara siasatan seperti yang telah ditetapkan, pihak majikan boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM10,000.

Bagi tindakan jenayah pula, gangguan seksual boleh disiasat mengikut beberapa peruntukkan di bawah Kanun Keseksaan [Akta 574] seperti Seksyen 509 yang membabitkan penggunaan sebarang perkataan atau isyarat, Seksyen 354 bagi kes yang melibatkan serangan atau penggunaan kekerasan jenayah dengan niat mahu mencabul kehormatan, dan Seksyen 355 bagi kes yang melibatkan serangan atau pengunaan kekerasan jenayah dengan niat untuk menjatuhkan kehormatan seseorang.

Buat sekian lama, mangsa gangguan seksual dalam negara kita hanya mampu menghantar pesalah ke dalam penjara tanpa mendapatkan pampasan.

Semua ini berubah di dalam sebuah kes di peringkat Mahkamah Persekutuan pada 2016 iaitu diantara Mohd Ridzwan bin Abdul Razak v Asmah bt Hj Mohd Nor [2016] 4 MLJ 282.

Di dalam kes ini seorang pekerja wanita telah memfailkan aduan terhadap si pelaku kepada majikan mereka kerana beliau telah mengeluarkan beberapa kenyataan berunsur seksual.

Satu tindakan untuk tidak memperbaharui kontrak kerja si pelaku telah diambil oleh pihak majikan selepas menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengatasi isu tersebut.

Si pelaku yang tidak berpuas hati kemudian mengambil tindakan mahkamah terhadap mangsa.

Kes ini berpanjangan sehingga ke Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah paling tinggi sekali dalam Malaysia dimana pihak Mahkamah Persekutuan bersetuju pemberian terhadap ganti rugi am dan ganti rugi teruk berjumlah RM120,000 kepada pihak mangsa kerana mengalami kemurungan yang serius akibat daripada masalah gangguan yang telah dialaminya.

Kes ini menjadi asas baru dalam sistem perundangan negara bahawa mangsa serangan seksual dibenarkan untuk mengambil tindakan terhadap pengganggu mereka serta menuntut pampasan dari mahkamah Malaysia.

Walaupun terdapat pelbagai jenis peruntukkan undang-undang mengenai perkara ini, pihak kerajaan digesa supaya memperkenal akta khusus berkaitan dengan isu gangguan
seksual seperti yang telah dicadangkan oleh pihak badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam negara kita agar kesalahan itu dapat diselesai mengikut peruntukan undang-undang yang lebih jelas tanpa menumpang atau menggunakan akta lain seperti yang dinyatakan diatas yang mempunyai kelemahan masing-masing terutamanya dari aspek skop pemakaian undang–undang terbabit dan proses pembuktian yang tinggi.

Undang-undang khusus mengenai gangguan seksual yang ingin diwujudkan mestilah mempunyai dua matlamat penting.

Pertamanya ia mestilah mengkehendaki setiap pihak mengambil langkah proaktif mencegah gangguan seksual dan keduanya ia haruslah menyediakan kepada pihak mangsa satu bentuk pembelaan undang-undang yang lebih sesuai, berkesan dan bermakna.

Muzaffar Syah Mallow

 

Oleh: Dr. Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)