KUALA LUMPUR – Sememangnya tepat apabila pengorbanan seorang guru itu diibaratkan umpama ‘lilin membakar diri’.

Ia bukan sahaja pengorbanan wang ringgit, sebaliknya seluruh masa dan tenaga digunakan bagi mendidik anak murid sehingga berjaya.

Malah niat seorang guru untuk memperkasakan rakyat di negara ini untuk menguasai Bahasa Inggeris lebih daripada layak untuk mendapat pujian.

Sememangnya nama Cikgu Rachael ketika ini di laman sosial YouTube ketika semakin viral di laman YouTube kerana menggunakan menggunakan Bahasa Melayu untuk mengajar Bahasa Inggeris.

Pengikutnya juga tidak kurang hebatnya, mencecah lebih 21,000 orang dalam tempoh kurang daripada dua bulan dengan masing-masing aktif bertanyakan soalan.

Baru-baru ini ketika Cikgu Rachael yang ditemubual oleh pengacara Minnal FM, RJ Sathya menyatakan apa yang dilakukan itu bukan bertujuan mencari populariti mahupun wang.

Sebaliknya, jelas tenaga pengajar di dua pusat pembelajaran Sistem Pengujian Bahasa Inggeris Antarabangsa (IELTS) di Johor Bahru itu, beliau berpuas apabila melihat lebih ramai orang boleh mempelajari, memahami serta menguasai Bahasa Inggeris dengan cara yang lebih mudah.

“Ini bukan soal duit mahupun populariti sebenarnya. Misi dan visi saya sebenarnya jauh lebih besar dari itu. Angan-angan dan cita-cita saya sebenarnya mahu melihat semua mampu bertutur dan menguasai Bahasa Inggeris dengan menggunakan platform media sosial.

“Malah ada juga yang tidak berkemampuan untuk membayar kerana kekangan kehidupan mereka, pada saya pencarian ilmu ini sebenarnya luas dan pelbagai cara, tidak adil seandainya tidak mampu itu dikecualikan.

“Jadinya cara ini begitu efektif dan penting sekali, ianya percuma.

“Mungkin ini juga cubaan saya dan sumbangan tidak seberapa untuk terus mendidik semua dengan apa jua cara sekalipun,” katanya membuka bicara.

Pengamatan MalaysiaGazette mendapati cara pengajaran Cikgu Rachel cukup unik, menarik dan begitu senang untuk difahami.

Menurut Cikgu Rachael, idea untuk memuat naik sesi pengajaran beliau melalui platform media sosial timbul selepas negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak Covid-19.

Beliau mula memuat naik kandungan di laman YouTube pada 17 Mei lalu.

“Saya sebenarnya rajin keluar dan mengajar di luar sehinggalah PKP ini. Ini telah merumitkan keadaan namun anak saya telah memberi cadangan supaya lakukannya melalui kaedah ‘YouTube channel’.

“Sememangnya ini adalah satu cabaran baharu buat saya kerana kaedah ini juga pada awalnya rumit, sukar dengan merekod menggunakan tripod kemudian menyuntingnya pula dengan bantuan anak saya.

“Apa yang sebenarnya menjadikkan pengajaran saya ini menarik apabila saya mengajar dalam Bahasa Melayu, saya dapat tahu penggunaan tatabahasa sebenarnya agak lemah dalam kalangan segelintir dari kita.

“Ini saya ketahui ketika menanda kertas peperiksaan, ramai mempunyai masalah membina ayat, jadinya jika guna Bahasa Melayu untuk mengajar Bahasa Inggeris, sebenarnya ia agak senang untuk difahami oleh golongan ini. Pendekatan ini sangat ekeftif juga,” jelasnya.

Cikgu Rachel berkata, beliau berasa teruja apabila mendapat maklum balas positif daripada pelajar-pelajarnya, tidak kira umur dan latarbelakang, yang mula menguasai subjek itu.

“Malah seronok saya tidak kepalang. Memang seronok dan gembira, itu anda tidak boleh belinya dengan wang ringgit. Tidak mungkin, tidak sesekali.

“Kandungan kandungan pembelajaran itu sekitar 10 hingga 12 minit dan rata-rata topiknya pula dipilih oleh pengguna sendiri. Kadang-kadang jika permintaan tinggi, saya sambung sehingga 18 minit. Seronok sebenarnya mengajar ini,” ujarnya. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast