Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Singapura telah bersetuju melanjutkan rundingan perjanjian-perjanjian berkaitan projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan kedua-dua negara.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, Majlis pemeteraian tiga perjanjian iaitu bilateral, konsesi dan usaha sama RTS dijadualkan berlangsung di Tambak Johor, dengan disaksikan Perdana Menteri kedua-dua negara, pada 30 Julai ini.

Katanya, perkembangan proses pembinaan RTS dijangka bermula sejurus kelulusan sewajarnya diperoleh pada Januari, tahun depan dan beroperasi sepenuhnya menjelang penghujung 2026.

“Pembinaan RTS akan dilakukan dalam dua fasa, iaitu bahagian pertama pada awal 2021 hingga hujung 2024, merangkumi fasa pembinaan atau pembangunan struktur sivil.

“Manakala awal 2025 hingga hujung 2026, ialah pembinaan sistem seperti isyarat, ‘rolling stock’, telekomunikasi, pentauliahan dan pengujian sistem,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Akmal Nasir (PKR-Johor Bahru) mengenai status terkini rundingan Malaysia-Singapura berkaitan projek RTS.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Akmal mengenai kos sebenar pembinaan RTS dan langkah kerajaan untuk menjamin ia berupaya menawarkan tambang pada kadar berpatutan, Ka Siong memberitahu, faktor yang mempunyai kaitan dengan rakyat serta penumpang sentiasa diberikan keutamaan.

Katanya, bersangkutan dengan kos, kementeriannya akan membuat perbandingan.

“Kalau pada awal 2018, sistem yang dicadangkan ketika itu adalah transit aliran massa (MRT), tetapi selepas mengambil pelbagai faktor pertimbangan, ia ditukar menjadi transit aliran ringan (LRT).

“Dari segi spesifikasi, ia berlainan. Kedua, kos tanah, ini juga atas ihsan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, berkenan untuk membantu kita dalam hal ini, maka kerajaan tidak pakai sehingga kos siling.

“Seperti diumumkan bekas Menteri Pengangkutan (Anthony Loke), betul masa itu RM3.16 bilion, tetapi apabila kita pindah stesen, di mana depoh itu kalau dulu di Mandai, tidak perlu buat depoh.

“Tetapi apabila dipindahkan ke Wadihana, di kawasan Yang Berhormat juga, maka kita terpaksa sediakan satu depoh dan perbelanjaan dari segi kos, pengambilalihan tanah, pembinaan, sistem keselamatan seperti ditetapkan Malaysia dan Singapura, ia memerlukan kos tambahan RM500 juta,” ujarnya. – MalaysiaGazette