Edinson Cavani meraikan gol keempat pasukannya selepas memalukan Barcelona dalam aksi pertama pusingan ke-16 Liga Juara-Juara Eropah di Parc des Princes awal pagi tadi. Foto: AP

LONDON – Pemilik Leeds United, Andrea Radrizzani mengakui kelabnya berminat untuk membawa masuk penyerang berpengalaman, Edinson Cavani ke Elland Road dalam usahanya memperkuatkan jentera serangan The Whites bagi menghadapi kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21.

Dengan kredibiliti selaku peledak berbisa yang telah dibuktikannya, serta dia juga bakal bergelar ejen bebas, khidmat pemain antarabangsa Uruaguay itu pasti menjadi rebutan banyak kelab ternama di Eropah.

Keadaan itu membuatkan Radrizzani tertarik untuk merekrut penyerang berusia 33 tahun itu yang telah menjaringkan 200 gol dalam 301 penampilan bersama Paris Saint-Germain (PSG).

”Selain daripada kualiti yang dimilikinya, Cavani mampu untuk menyumbangkan sesuatu dengan fizikalnya dan menyesuaikan diri di sini, tetapi saya masih belum pernah bercakap dengan pengurus kami mengenai perkara ini.

”Setelah mengatakan perkara itu, kami sudah pasti memikirkan dan akan melihatnya, memandangkan dia masih lagi ada dalam perpindahan percuma,” katanya menurut laporan Goal.

Sementara itu, Radrizzani menolak kemungkinan beliau akan sekali lagi berminat untuk mendapatkan khidmat seorang lagi penyerang berpengalaman, Zlatan Ibrahimovic untuk pasukannya.

”Membawa masuk Ibrahimovic tentunya akan menjadi sukar. Kami cuba untuk menandatanganinya pada bulan Januari lalu tetapi dia memilih untuk menyertai Milan dan kesepakatan itu lenyap.

“Sekarang saya merasakan sudah terlalu lewat, intensiti bola sepak England telah berubah,” ujarnya

Sebelum ini, media melaporkan Cavani dikhabarkan menyimpan angan-angan untuk menyertai Atletico Madrid kerana tertarik untuk bekerja bersama pengurus pasukan, Diego Simeone. – MalaysiaGazette