Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan seluruh rakyat Malaysia supaya tidak bersikap sambil lewa dan alpa dengan arahan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka turut menzahirkan kegusaran berikutan peningkatan kes baharu Covid-19 kepada dua digit dan kewujudan beberapa kluster baharu wabak itu.

“Al-Sultan Abdullah menggesa rakyat supaya tidak hilang fokus dan sentiasa berwaspada serta berdisplin dalam memainkan peranan masing-masing dengan mematuhi SOP, termasuk perintah kuarantin dan amalan kebiasaan baharu.

“Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan rakyat tentang kejayaan kerajaan, Kementerian Kesihatan (KKM) serta agensi berkaitan, khususnya barisan petugas hadapan dalam mengawal penularan wabak Covid-19.

“Usaha-usaha ini tidak bermakna jika negara menghadapi gelombang kedua dan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan yang boleh memberi kesan kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette