BANGI – Pendidikan Rukun Negara hari ini dilihat tidak lagi semantap dulu mengakibatkan berlakunya beberapa perlakuan yang mencetuskan provokasi dan kemarahan dalam kalangan rakyat.
Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, rakyat kini tidak lagi menghayati maksud Rukun Negara seterusnya menjadikannya sebagai tunggak untuk menghormati negara dan pemimpin.
“Perkara utama adalah balik kepada asas pendidikan Rukun Negara. Sepatutnya semua orang tahu masa sekolah kita hafal Rukun Negara. Bila kita hafal Rukun Negara waktu itu kita juga tahu maksudnya, melihat keadaan ada hari ini mungkin pendidikan Rukun Negara tidak semantap sewaktu dulu,” katanya kepada pemberita di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.
Menurut Halimah, pendidikan Rukun Negara berteraskan Rukun Perpaduan merupakan salah satu fokus utama Perjanjian Persefahaman (MoU) yang dijalinkan di antara Kementerian Perpaduan dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.
Tiga fokus lain kerjasama kedua-dua pihak ini adalah penyediaan Indeks Perpaduan Nasional (IPNaS), Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) dan Pemantapan Institut Kajian dan Latihan Intergrasi Nasional (IKLIN).
Katanya, Kementerian Perpaduan akan turut bekerjasama dengan agensi-agensi lain untuk memperkasakan penghayatan prinsip Rukun Negara terutama dalam kalangan murid dan pelajar di sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Beliau berharap agar usaha menerapkan pendidikan Rukun Negara akan mendapat sambutan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).
“Sekarang kita di tahap perbincangan untuk mengaturkan kerana bila kita nak bawa ke sistem pendidikan kita perlu dapat sokongan di Kementerian Pendidikan dan ada empat kementerian lagi,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata usaha pemerkasaan akan dilaksanakan menerusi penubuhan Jawatankuasa Pendidikan Rukun Negara dan Penjenamaan Semula Kelab Rukun Negara (KRN) dan Saketariat Rukun Negara (SRN).
MoU antara Kementerian Perpaduan dan UKM ditandatangani oleh Ketua Setiausaha kementerian berkenaan Datuk Wan Suraya Wan Md Radzi dan Naib Candelor UKM Datuk IR Mohd Hamidi Abd Shukor.
Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak akan meningkatkan keharmonian dan perpaduan antara kaum di Malaysia di samping merealisasikan Pendidikan Rukun Negara sebagai teas negara, seiring dengan Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara pada 9 Julai yang lalu.
Semalam Halimah dalam persidangan Dewan Rakyat berkata, usaha untuk menerapkan pendidikan Rukun Negara dalam kurikulum sekolah sedang diteliti bersama dengan Kementerian Pendidikan.-MalaysiaGazette