Ronaldo ternyata kecewa selepas pasukannya gagal memuktamadkan gelaran apabila kalah mengejut 2-1 kepada tuan rumah Udinese semalam.

MILAN – Juventus melepaskan peluang terbaik untuk mengesahkan statusnya selaku juara Serie A Itali selepas kalah mengejut 2-1 kepada Udinese dalam aksi malam tadi.

The Old Lady selaku juara bertahan Serie A selama lapan tahun berturut-turut sepatutnya memuktamadkan kejuaraan kesembilan malam tadi.

Bagaimanapun kini mereka perlu menang satu daripada tiga perlawanan terakhir untuk mengesahkan gelaran musim ini.

Pasukan pelawat itu mendahului tuan rumah menerusi gol jaringan bintang pertahananya Matthijs de Ligt pada separuh masa pertama.

Namun kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Udinese bangkit daripada ketinggalan satu gol sebelum berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan kencang Ilija Nestorovski pada minit ke-52.

Juventus yang tidak menjangkakan kebangkitan pasukan tuan rumah itu terus mengatur serangan dibarisi Cristiano Ronaldo.

Namun pasukan kendalian Maurizio Sarri terus dihukum dengan gol kedua tuan rumah pada saat akhir menerusi Seko Fofana pada minit kecederaan ke-93.

Ia sekaligus menghancurkan impian Juventus untuk mengesahkan kejuaraan Serie A lebih awal dan berakhir dengan kekalahan 2-1.

Sarri memberi alasan pasukannya sudah penat mengakibatkan tidak boleh mengekalkan prestasinya.

“Oleh kerana kita terlalu fokus untuk mengesahkan tiga mata penuh, hilang konsentrasi di atas padang sehingga membolos dua gol,” ujarnya.-MalaysiaGazette