Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil

KUALA LUMPUR – Kumpulan pelaksana dikenal pasti antara yang paling banyak terlibat dalam kes rasuah, membabitkan sektor perkhidmatan awam pada 2019, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Beliau dalam mendedahkan perkara itu berkata, daripada 525 tangkapan pada 2019, seramai 387 daripadanya merupakan kumpulan pelaksana.

“Kumpulan perkhidmatan, selain kumpulan pelaksana terdiri daripada kumpulan pengurusan tertinggi, kumpulan pengurusan dan profesional.

“Seramai 121 individu ditahan bekerja dalam kumpulan pengurusan dan profesional manakala 17 individu lagi ditahan dalam kalangan kumpulan pengurusan tertinggi,” katanya kepada Bernama.

Selain itu Shamshun Baharin berkata, pada 2019, jumlah tangkapan mencecah lebih 1,000 individu daripada pelbagai sektor.

“Ia jumlah yang mengejutkan, SPRM tidak pernah memperolehi tangkapan lebih daripada angka itu, dengan yang tertinggi sebelum ini ialah pada 2010 dengan 944 tangkapan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai gejala penjawat awam terbabit rasuah, Shamshun Baharin berkata, adalah penting untuk memberi penekanan kepada Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, dengan penglibatan sektor pendidikan.

“Langkah itu perlu supaya dalam masa sama dapat mewujudkan rasa benci terhadap rasuah, daripada peringkat awal lagi,” katanya.

Shamshun Baharin berkata, kerajaan turut diminta mengkaji serta mengeluarkan satu pekeliling membabitkan permasalahan rasuah, dalam kalangan penjawat awam.

“Modul itu sudah wujud, namun pekeliling perlu dikeluarkan oleh agensi pusat, SPRM tidak boleh mengeluarkan pekeliling berkenaan.

“Sektor awamlah yang paling tinggi, NACP itu disediakan kerana trend di sektor awam, di mana statistik SPRM menunjukkan sektor awam lebih cenderung ke arah rasuah,” katanya.

NACP dilancarkan awal tahun ini dan ia sejajar dengan usaha ke arah negara bebas rasuah dan berintegriti. – Bernama