Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mahu mendapatkan maklum balas daripada pihak industri mengenai rangka kerja kawal selia bagi penyedia dompet aset digital, yang akan melengkapi rangka kerja sedia ada bagi Bursa Aset Digital (DAX) dan Tawaran Awal Bursa (IEO).

Penyedia dompet aset digital merupakan individu yang menyediakan khidmat penjagaan atau penyimpanan bagi pihak pemilik aset digital dan memainkan peranan penting dalam ekosistem tersebut dalam melindungi aset digital pelanggan.

Sehubungan ini, penyedia dompet aset digital sedia ada atau mana-mana pihak yang berminat, diminta untuk menghubungi SC untuk bertemu dan membincangkan operasi perniagaan semasa mereka, dan/atau memberi apa-apa maklum balas mengenai rangka kerja bagi penyedia dompet aset digital tersebut.

Penyedia sedia ada dan individu yang berminat hendaklah menghubungi SC bagi sesi perjumpaan selewat-lewatnya pada 14 Ogos 2020.

Apabila dimuktamadkan, rangka kerja kawal selia bagi penyedia dompet aset digital
tersebut akan dimasukkan sebagai sebahagian daripada garis panduan, Guidelines
on Digital Assets.

Untuk maklumat lanjut atau untuk menetapkan sesi temu bincang, sila hubungi [email protected] – MalaysiaGazette