Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Tindak-tanduk Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil yang begitu ghairah ‘menembak’ Pas berhubung isu Rang Undang-Undang 355 seolah-olah cuba menangguk di air yang keruh dan menjadi batu api.

Tindakan Faiz itu menimbulkan persoalan memandangkan pada ketika ini fokus negara untuk menyelamatkan rakyat dan negara daripada pandemik Covid-19.

Oleh itu, cubaan Faiz untuk menimbulkan isu itu semata-mata mahu menimbulkan persepsi yang kurang enak terhadap Pas.

Ketua Dewan Pemuda Parti Ikatan Malaysia, Shahir Adnan berkata, isu RUU355  bukanlah sesuatu yang asing kerana saban tahun dimainkan oleh pemimpin DAP dan
sekarang baton ini sudah diserahkan kepada Amanah.

Beliau berkata, Faiz tanpa berselindung memulakan langkah dengan kenyataan beliau yang merujuk terus kepada ‘Orang Melayu Islam’, mungkin pada pandangan beliau, hanya orang Melayu Islam yang prihatin kepada isu RUU355 dan tidak orang Islam daripada kaum-kaum yang lain.

Secara jelas, kata Shahir, Faiz telah mendedahkan bahawa fokus Amanah adalah hanya Melayu Islam, yang secara ‘kebetulan’ juga merupakan pendukung kuat Muafakat Nasional (MN).

Bacaan politik mudah adalah, Faiz mahu menanam gelisah dan wasangka dalam benak penyokong-penyokong MN.

Namun, katanya, Faiz masih terbawa-bawa sikap dan perangai yang membawa kepada kejatuhan Pakatan Harapan (PH) setelah 22 bulan memerintah.

”Sikap terlalu fokus kepada politik dan terlalu banyak berpolitik berbanding memerintah. Beliau gagal untuk melihat PN kini sibuk memerintah dan memastikan negara terselamat daripada kesan buruk daripada segi ekonomi dan kesihatan umum akibat pandemik Covid-19.

”Benar RUU355 ini adalah penting dan menjadi isu fokus umat beragama Islam di negara kita, tetapi setiap isu ada masa dan ketika yang sesuai untuk diketengahkan.

”Seorang pemimpin yang mengangkat diri sebagai pemimpin masa hadapan untuk Amanah perlu tahu untuk meletakkan sesuatu isu berdasarkan keutamaan. Isu RUU355 adalah penting, tetapi isu Covid-19 dan memulihkan ekonomi adalah lebih ‘time sensitive’,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Faiz semalam yang menyebut orang Melayu Islam ternanti-nanti bilakah kerajaan PN yang dianggotai Pas akan membentangkan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU355 di Parlimen.

Kata Ahli Jawatankuasa Amanah itu, penantian itu ternyata meleset dengan jawapan daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary bahawa RUU355 perlu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Shahir berkata, kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk yang memaklumkan kerajaan akan melihat kepada isu RUU355 ini mengikut garis-garis panduan yang telah termaktub di dalam Perlembagaan dan pertimbangan yang menyeluruh akan diambil.

Sebagai seorang yang beragama Islam, mungkin lebih elok jika Faiz boleh mengambil sikap bersangka baik dan membiarkan perkara yang lebih utama dahulu diselesaikan.

Mudarat Covid-19 dan kesan sampingan kemerosotan ekonomi adalah lebih utama.

”Adakah Faiz Fadzil lebih sanggup berdebat mengenai RUU355 di dalam Parlimen tatkala kebajikan rakyat diabaikan, kadar pengangguran semakin meningkat, kes aktif Covid-19 gagal dikurangkan, dan kematian akibat Covid 19 semakin bertambah?

”Lebih elok, jika Faiz Fadzil menyeru rakan seperjuangan untuk menunjukkan solidariti dan patriotism dalam menyokong dan mengembalikan fokus rakyat kepada melawan krisis pandemik ini,” ujar Shahir lagi.

Tambahnya, menuduh parti MCA menjadikan Pas sebagai khadam adalah bersifat provokatif dan boleh memecahbelahkan perpaduan negara sedangkan, negara amat memerlukan perpaduan itu ketika berdepan dengan krisis.

Shahir yang menyifatkan tindakan Faiz yang mencetuskan isu ini sebagai peniup seruling sebuah orkestra.

”Seperti sebuah orkestra, pemimpin muda Amanah ini meniup seruling beliau seraya konduktor memberikan isyarat kepadanya. Penuh tekun dan disiplin, seruling ditiup memainkan melodi yang diarahkan – tanpa cacat atau cela.

”Konduktor orkestra tentu bangga mempunyai seorang yang amat setia dan taat seperti saudara Faiz Fadzil ini.

”Penonton dapat melihat bayang konduktor dan gerakan tangan yang penuh emosi dan autoritatif.

”Penonton juga dapat meneka siapa gerangan konduktor tersebut namun wajahnya masih belum dapat ditatap dengan jelas kerana konduktor orkestra ini lebih selesa untuk beroperasi dalam kerahsiaan,” katanya penuh makna. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. nabi pun keberatan untok laksanakan budud. tapi pas ghairah sekali untok melakukannya. apa tujuan sebenar.

Comments are closed.