KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan mengutip sejumlah RM8,550,360,735.47 hasil untuk tahun 2019 dan 2018.
Daripada jumlah itu sebanyak RM4,317,189,192.16 adalah kutipan hasil pada tahun lalu dan 2018 pula sebanyak RM4,233,171,543.31.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, daripada jumlah hasil kedua tahun berkenaan, hasil yang dikutip daripada saluran di Kaunter Fizikal JPJ adalah berjumlah RM5,028,984,496.37 bersamaan 58.82%.
Pada masa ini, perkhidmatan Kaunter fizikal JPJ disediakan di 15 JPJ negeri, cawangan (65) dan JPJ UTC (19).
Saluran Online MySIKAP JPJ pula melibatkan perkhidmatan di Kiosk, Portal JPJ dan Perkhidmatan Bidaan Atas Talian atau JPJ e-BID.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Loke Siew Fook (DAP-Seremban) yang bertanya jumlah hasil cukai dan hasil bukan cukai yang dipungut JPJ pada tahun 2018 dan 2019, daripada jumlah hasil tersebut berapakah yang dipungut melalui kaunter fizikal JPJ, saluran online MySikap JPJ dan saluran online syarikat swasta.
Dalam tempoh yang sama, sejumlah RM329,359,953.44 bersamaan 3.8% dikutip menerusi saluran Online MYSIKAP JPJ dan sejumlah RM3,192,016,285.17 bersamaan 37.33% pula dikutip menerusi saluran online oleh pihak syarikat swasta.
Perkhidmatan yang disediakan menerusi Saluran Online Syarikat Swasta adalah termasuk saluran Perkhidmatan e-Khidmat (myEG), Pos Malaysia Berhad, Puspakom, Touch’N’Go, e-Payment, e-Daftar, Fi Konsesi Puspakom dan perbankan Internet.
Ka Siong berkata, JPJ tidak mengutip hasil daripada sumber cukai.
Lantaran itu, kutipan hasil JPJ adalah berpunca daripada sumber hasil bukan cukai sahaja seperti pembayaran fi perkhidmatan pengeluaran lesen memandu, fi perkhidmatan urus niaga pendaftaran baharu kenderaan motor, fi dikenakan ke atas pembaharuan lesen kenderaan motor dan bayaran denda (saman). – MalaysiaGazette