Pelarian Rohingya diselamatkan di perairan Langkawi kira-kira jam 9 pagi tadi oleh pihak berkuasa Malaysia. Pic Maritim Malaysia

KUALA LUMPUR – Penduduk setempat didakwa terlibat sebagai tali barut susulan beberapa cubaan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Pulau Langkawi.

Ia adalah hasil maklumat risikan dan soal siasat yang dilakukan oleh National Task Force (NTF).

Menurut NTF, modus operandi yang digunakan melibatkan bantuan daripada penduduk setempat di samping penggunaan bot-bot nelayan tempatan.

PATI yang sudah memasuki perairan Malaysia akan menaiki bot-bot nelayan tempatan dan menyamar sebagai nelayan sebelum mendarat di pulau-pulau sekitar Langkawi.

NTF berkata, pada 21 Julai yang lalu, dua lelaki warga Myanmar yang menetap di Pulau Langkawi disyaki dalang sindiket penyeludupan PATI, ditahan dalam satu operasi khas bersepadu yang dikoordinasikan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kedua-dua lelaki terbabit ditahan cuba memberi rasuah kepada pegawai penguatkuasa Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) bagi memberi laluan untuk kemasukan migran melalui jalan laut.

Susulan tangkapan pertama, satu serbuan dilakukan di sebuah rumah di Kuala Teriang, Langkawi disyaki dijadikan tempat transit dengan melibatkan tangkapan ke atas 34 orang warga asing daripada Thailand dan Myanmar.

Terbaharu, 27 PATI dipercayai etnik Rohingya termasuk dua tekong warga Myanmar ditahan di pantai Pulau Rebak, Langkawi semalam dan semua mereka yang ditahan dibawa ke Jeti APMM Bukit Malut untuk tindakan lanjut.

NTF menegaskan, penglibatan penduduk tempatan membantu kemasukan PATI baik melalui laluan perairan mahupun daratan persempadanan negara merupakan satu perbuatan khianat.

Oleh itu, NTF akan sentiasa membuat pemantauan berterusan serta tindakan tegas akan diambil bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan negara terpelihara.

Tangkapan demi tangkapan akan dilakukan bagi mengesan saki baki sindiket yang terlibat dalam penyeludupan PATI, ujarnya.

Masyarakat juga digesa untuk bekerjasama dalam menyalurkan sebarang maklumat berkenaan dengan PATI, aktiviti penyeludupan, pencerobohan sempadan atau sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan melalui talian hotline Pusat Operasi NTF (011-6251 1223). – MalaysiaGazette