Bangunan Kementerian Sumber Manusia. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Dasar kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing sehingga akhir tahun ini masih kekal kerana mengambil kira penularan wabak pandemik Covid-19 dan impak pandemik tersebut kepada pasaran pekerjaan melibatkan tenaga kerja tempatan.

Menurut Kementerian Sumber Manusia, kerajaan hanya akan mempertimbangkan permohonan untuk membenarkan majikan khususnya dari sektor-sektor yang berkeperluan tinggi terhadap pekerja asing seperti pembinaan, perladangan dan pertanian apabila tempoh pembekuan tersebut berakhir.

Menurut kementerian berkenaan, pertimbangan ini akan turut mengambil kira pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung status pandemik Covid-19 dan pasaran pekerjaan tempatan.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim semasa sesi soal jawab di Parlimen hari ini, bahawa kerajaan telah memberi kebenaran kepada majikan untuk menggajikan pekerja asing dalam sektor pembinaan, perladangan dan pertanian.-MalaysiaGazette