Azman Yusoff
Azman Yusoff

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran agar menambah peruntukan dalam pakej rangsangan bagi membantu syarikat pembinaan dan usahawan pengilang yang berskala kecil untuk meneruskan operasi masing-masing.

Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan, Bumiputera Malaysia (PPIPBM), Datuk Azman Yusoff berkata, masih terdapat projek pembinaan tidak dapat berjalan kerana ketiadaan modal mula operasi dan tidak kurang yang sudah gulung tikar.

Katanya, terdapat juga kilang yang terpaksa tutup operasi menyebabkan pendapatan yang diraih menyusut teruk. hingga meninggalkan kesan apabila ramai pekerja diberhentikan dan hilang mata pencarian.

“Sektor pengilangan dan pembinaan adalah rantaian yang cukup terkesan dalam pandemik Covid-19. Sungguhpun ia sudah dibenarkan beroperasi, namun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini memberi kesan ekonomi yang panjang kepada mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Azman berkata, pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat ketika ini juga sedikit sebanyak meningkatkan kos perniagaan syarikat.

Katanya, sekatan kemasukan pekerja asing yang masih berlanjutan hingga kini, turut menggugat produktiviti syarikat, ekoran berlaku kenaikan kepada kos kerja.

Tambah beliau, untuk memulihkan semula perniagaan mereka yang terjejas, memerlukan tempoh masa tidak kurang dari satu tahun.

Malah, ia boleh lebih dari itu jika kita melihat kepada trend pendemik ketika ini yang masih ditahap mengusarkan, katanya.

“Sudah tentu, pelanjutan moratorium diberikan kerajaan kepada sektor perniagaan terjejas sedikit sebanyak membantu mereka mengatur kemampanan kewangan syarikat.

“Hanya dengan cara itu, perniagaan mereka mampu beroperasi biarpun dalam situasi sukar dan pulih secara beransur-ansur,” tambahnya.

Menurut beliau lagi, jaminan kerajaan supaya bank memberi kelonggaran seperti ini turut merangsang pertumbuhan yang positif dalam sektor pengilang terutama yang membabitkan perindustrian kecil dan sederhana atau SME.

Jelasnya, pengilang perlu menggunakan inisiatif ini sebagai peluang untuk mengurus kewangan syarikat mereka. Lebih penting memastikan pekerja tidak diberhentikan.

“Inilah masa terbaik untuk pengilang beri peluang kepad pekerja tempatan dan percaya mereka akan mampu laksanakan tugasan dengan baik dan jangan terlalu memilih bidang kerja dalam masa masa sukar ini,” katanya. – MalaysiaGazette