Sebanyak 1.6 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menjelang perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Hentian rehat dan rawat (R&R) dan hentian sebelah di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) akan ditutup sementara sekiranya didapati terlalu sesak hingga menyukarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) penjarakan sosial dilaksanakan.

Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abd Aziz, keputusan dibuat selepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, ia sebagai susulan bagi membendung penularan Covid-19 dan pada masa yang sama memastikan keselamatan pengguna lebuhraya ketika perjalanan pulang dan kembali semula ke ibu kota sempena perayaan Hari Raya Aidiladha.

“Kami telah membuat keputusan untuk melaksanakan langkah ini demi keselamatan semua pelanggan kami terutamanya bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.

“Kami sama sekali tidak boleh berkompromi terhadap keselamatan semua pelanggan dan berharap pelanggan dapat memahami mengapa langkah sedemikian perlu diambil demi keselamatan mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Yusuf berkata, kawasan rehat yang ditutup akan dibuka secepat mungkin setelah pemantauan dan pemeriksaan mendapati ia lebih selesa dan selamat digunakan oleh pengguna lebuhraya.

PLUS turut memohon kerjasama daripada pengguna supaya merancang perjalanan dan mengelakkan kawasan rehat yang sesak.

“Mereka juga dinasihatkan supaya menggunakan kemudahan awam seperti tandas dan surau yang turut disediakan di plaza tol sebagai alternatif dan masuk semula ke lebuhraya untuk menyambung perjalanan mereka,” ujarnya

Dalam perkembangan sama beliau berkata, pengumuman tentang penutupan sementara kawasan rehat yang berkaitan akan dipaparkan pada papantanda elektronik yang disediakan di lebuhraya termasuk menerusi Twitter PLUSTrafik, aplikasi PLUS dan lain-lain lagi.

PLUS menjangkakan jumlah kenderaan yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan akan melonjak kepada 1.7 juta pada setiap hari puncak bersempena dengan cuti Aidiladha ini. – MalaysiaGazette