Andrea Pirlo legenda Itali dan Juventus kembali ke dunia bola sepak sebagai Jurulatih B23 Juventus

MILAN – Legenda pasukan Juventus Andrea Pirlo kembali semula ke kelab Serie A Itali itu sebagai Jurulatih pasukan bawah 23 tahun.

Bekas perancang tengah prolifik skuad the Old Lady itu kini berusia 41 tahun telah meninggalkan Juventus pada 2015 dan menyertai New York City FC di Major League Soccer Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, dua tahun kemudian dia mengumumkan persaraanya secara rasmi dari dunia bola sepak.

Pirlo melakukan 116 penampilan untuk Itali, membantu negara menjuarai Piala Dunia pada 2006.

Dia juga menjuarai gelaran Serie A Itali bersama Juventus sebanyak empat musim berturut-turut selepas berhijrah dari AC Milan.

“Hari ini bermulanya pengembaraan baharu untuk Pirlo dan Juventus apabila dia kembali ke kelab sebagai Jurulatih untuk pasukan bawah 23 tahun.

“Cabaran baharu kini menanti Pirlo, dan kemunculan semula menggembirakan penyokong Juventus..Selamat kembali Coach Pirlo,” sebut kenyataan rasmi Juventus dalam laman web kelab itu.