Shafie Apdal
Reaksi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada sidang media khas pembubaran DUN Sabah. foto MALAYSIA GAZETTE, 30 JULAI 2020
KUALA LUMPUR – Sabah pernah berlaku snap election pada tahun 1986, setelah setahun Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berlangsung pada tahun 1985.
Semasa PRN itu, Parti Bersatu Sabah (PBS) yang baru dibentuk awal tahun tersebut oleh Joseph Pairin Kitingan telah memenangi 25 kerusi dan menumbangkan parti pemerintah Sabah sebelum itu, Parti Berjaya Sabah.

Parti Berjaya Sabah yang hanya memenangi enam kerusi manakala satu lagi bekas parti pemerintah era 1960-an, parti USNO pula menang 16 kerusi manakala Pasok menang satu kerusi.

PBS menang kerusi dalam angka majoriti mudah kerana waktu itu DUN Sabah mempunyai 48 kerusi dan majoriti mudah adalah 25 kerusi dan dua pertiga adalah 32 kerusi.

Dalam tempoh setahun pelbagai peristiwa politik yang menggugat kedudukan PBS telah berlaku. Anda boleh rujuk sejarah yang terjadi waktu itu. Sekadar ringkasan untuk tulisan ini, berlaku juga kekacauan. Ini termasuk usaha Usno untuk ‘merebut’ kuasa pemerintahan.

Joseph Pairin selaku Ketua Menteri Sabah telah mengusulkan pembubaran DUN Sabah dan pilihan raya mengejut diadakan pada 4-5 Mei 1986.

Langkah politik Joseph Pairin itu berjaya mengembalikan mandat yang lebih selesa dan selamat buat PBS menjadi pemerintah kerajaan negeri.

PBS telah memenangi 34 kerusi, iaitu melebihi angka dua pertiga (32 kerusi), parti pesaing utama USNO menang 12 kerusi, manakala Berjaya terus terbenam hanya memenangi satu kerusi. Sebuah parti lagi, Sabah Chinese Consolidated Party (SCCP) turut menang satu kerusi.

Apakah sejarah ini akan cuba diulangi oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama Warisan?

Snap election yang bakal berlangsung nanti pasti menarik dalam suasana politik Malaysia yang kian dinamik. Orang awam akan terus pening memikir permainan politik yang terus menerus berlangsung. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast