Salammusik terpaksa membatalkan jelajah Eropah yang telah dijadualkan pada tahun ini.

KUALA LUMPUR – Muncul sebagai kumpulan tempatan yang telah banyak menggodol anugerah di tanah air, Salammusik meraikan ulang tahun pertama penghasilan album fizikal mereka yang berjudul Riwayat.

Justeru, para peminat kini boleh melayari lagu utama album tersebut, Menyemai Kemungkinan menerusi platform digital yang terpilih.

Salammusik yang terkenal dengan lagu-lagu hits seperti Aku Pelat, Bangkit dan pelbagai lagu lain sentiasa mengangkat dan menyemarakkan elemen dan irama tradisional Malaysia dalam naskah mereka.

“Kami sentiasa menghargai elemenmuzik tradisional yang menjadi khazanah negara dan akan sentiasa mengetengahkan elemen ini untuk dikongsi bersama generasi muda dan pada masa yang sama masih lagi disulami dengan rentak-rentak moden agar kekal relevan”, kata penyanyi dan produser Salammusik dalam satu kenyataan.

Lagu Menyemai Kemungkinan adalah sebahagian dari album Riawayat yang diilhami oleh sejarah Malaysia. Buku itu mengandungi karya seni, puisi, terjemahan, transkripsi, dan akord album.

Menyemai Kemungkinan juga telah dijadikan lagu tema bagi filem aksi seni mempertahankan diri, Geran dan mulai sekarang, peminat boleh melayari lagu versi asal tersebut mahu pun versi Newsantara Remix by YYY Hertz di semua platform digital seperti i-Tunes dan Spotify.

“Ia merupakan tahun yang memberangsangkan untuk kami. Selepas pelancaran album fizikal yang pertama, Riwayat kami mulai sibuk dengan aktiviti jerayawara di seluruh negara dengan persembahan di Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Ipoh.

Peminat Salammusik kini boleh melayari lagu utama album tersebut, Menyemai Kemungkinan menerusi platform digital yang terpilih.

“Kami sangat berbesar hati dengan sambutan menggalakkan yang telah diterima menerusi peminat dan penyokong muzik kami dari Malaysia.

“Di samping itu juga, kami berasa amat teruja dengan undangan untuk melakukan persembahan di festival-festival utama di Eropah khususnya,” katanya.

Sementara itu, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia turut menyokong inisiatif murni Salammusik dalam memartabatkan elemen muzik tradisional di dalam penghasilan naskah mereka dan ini membawa kepada pengiktirafan dan surat penghargaan yang dizahirkan oleh kerajaan Malaysia sendiri.

“Ia satu perasaan yang sukar untuk digambarkan apabila usaha kreatif kami mendapat perhatian oleh pemimpin negara ini.

“Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong usaha kami sejak awal lagi,” ujar Salammusik lagi.

Dalam perkembangan lain, berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia baru-baru ini, Salammusik terpaksa membatalkan jelajah Eropah yang telah dijadualkan pada tahun ini biarpun telah mengesahkan penyertaan mereka di dalam sembilan festival utama di sana.

Keputusan ini terpaksa diambil memandangkan pembatalan serta penundaan acara dan festival muzik di seluruh dunia disebabkan wabak ini.

Namun begitu, kebanyakan festival ini telah pun menjadualkan semula pembabitan Salammusik ke tahun hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast