Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB)

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) bersedia membantu para pelanggannya yang terjejas akibat Covid-19 untuk membayar semula pembiayaan.

Dengan hanya berbaki dua bulan sebelum tempoh moratorium berakhir pada 30 September 2020, Bank Islam menggesa para pelanggan untuk menghubungi pegawai-pegawainya bagi urusan pembayaran semula pinjaman yang terbaik.

Bank Islam menawarkan bantuan pembayaran lanjutan moratorium selama tiga bulan dari penghujung tempoh berakhirnya moratorium sedia ada bagi para pelanggan yang kehilangan pekerjaan.

Selain itu, pengurangan ansuran bulanan bersesuaian dengan pengurangan gaji, tertakluk kepada jenis pembiayaan atau fleksibiliti pembayaran selama enam bulan dari penghujung tempoh berakhirnya moratorium sedia ada bagi pelanggan yang gajinya dikurangkan.

Pelanggan boleh mengunjungi rangkaian cawangan Bank Islam di seluruh negara bermula 7 Ogos ini untuk membincangkan penyelesaian yang paling sesuai mengikut keadaan kewangan mereka dan melengkapkan borang permohonan untuk menikmati kemudahan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, bank ini telahpun mula menghubungi semua pelanggan melalui khidmat pesanan ringkas dan mengemas kini maklumat secara berkala di pelbagai platform komunikasi dan akan terus melipatgandakan usaha untuk memastikan mesej ini disampaikan dengan berkesan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast