OP

KUALA LUMPUR – Seramai enam Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bersama dua tekong laut Indonesia dan seorang tekong darat warga tempatan berjaya dicekup ketika cuba menyusup keluar dari perairan negara.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) Kem Terendak, Melaka dalam kenyataan rasmi hari ini berkata, kumpulan itu ditangkap dalam dua siri tangkapan sekitar jam 10.30 malam tadi.

Kejadian tersebut berlaku di sektor Op Benteng kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia oleh Pasukan 1 RRD.

“Kumpulan Quick Reaction Force (QRF) telah berjaya menangkap enam orang PATI warganegara Indonesia yang dipercayai sedang menunggu bot untuk keluar dari Malaysia bersama seorang tekong darat warga tempatan di Persisiran Pantai Punggai, Bandar Penawar, Johor.

“Hasil maklumat dari tangkapan tersebut, Kumpulan QRF seramai lima orang telah menyusup bersama sekumpulan PATI bagi merapati kedudukan sebuah bot yang datang merapat ke pesisir pantai untuk mengambil PATI.

“Hasilnya, mereka telah berjaya menangkap dua orang tekong laut warga Indonesia bersama sebuah bot berkapasiti satu enjin Yamaha 200 HP yang dipercayai untuk membawa PATI balik ke Indonesia,” kata markas tersebut.

Tambah Markas lagi, kesemua tangkapan merupakan lelaki dewasa berumur di antara 25 hingga 52 tahun.

Menurut kenyataan yang sama, mereka juga berjaya merampas tujuh buah telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM 2,404 dan wang Indonesia IDR 4 Juta Rupiah, sebuah Bot berserta Enjin Yamaha 200 HP menjadikan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM 147,344.

“Maklumat turut disalurkan ke Bilik Gerakan National Task Force (NTF) di KD Sultan Ismail (KDSI) untuk pemantauan lanjut di perairan kerana disyaki terdapat bot dari Indonesia akan masuk ekoran kejadian air pasang besar.

“Pasukan meneruskan kawalan keselamatan di persisiran pantai dan kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Bayu Damai untuk tindakan lanjut sebelum menjalani ujian Covid-19,” tegas markas dalam kenyataan tersebut.- MalaysiaGazette