Gambar hiasan
PUTRAJAYA – Golongan peniga dibenarkan menganjurkan aktiviti jualan murah tanpa had bilangan kuota mengikut kesesuaian dan kemampuan masing-masing, berkuat kuasa 2 Januari depan, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, ia berikutan pewartaan pindaan Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) (Pindaan) 2019.

Sebelum ini, katanya, peraturan tersebut menetapkan had kuota penganjuran jualan murah adalah sebanyak empat kali setahun iaitu tiga daripadanya adalah berdasarkan tempoh dan tarikh yang ditetapkan oleh kerajaan manakala satu lagi tarikh jualan murah dipilih oleh peniaga.

“Pindaan peraturan ini bertujuan menjadikan penguatkuasaan berkaitan jualan murah menjadi lebih relevan mengikut perkembangan perdagangan semasa,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

Iskandar berkata, penambahbaikan juga telah dibuat ke atas sistem notis jualan murah agar peniaga tidak lagi perlu menunggu kelulusan daripada KPDNHEP dalam tempoh yang lama untuk mendapatkan nombor notis jualan murah.

“Nombor notis jualan murah tersebut akan diberi secara automatik sebaik sahaja permohonan notis ini telah dilengkapkan oleh peniaga di dalam sistem permohonan notis jualan murah secara dalam talian,” katanya.

Iskandar berkata, KPDNHEP juga bersetuju memendekkan tempoh untuk mengemukakan permohonan jualan murah daripada 14 hari kepada satu hari sahaja sebelum peniaga mengadakan jualan murah bagi menyokong kreativiti dan strategi pasaran peniaga.

“Melalui pindaan ini, peniaga tiada lagi alasan untuk tidak memohon notis jualan murah kerana mereka boleh memohon dalam tempoh satu hari sebelum tarikh untuk mengadakan jualan murah,” katanya.

Iskandar dalam pada itu berkata, KPDNHEP bukan sahaja mengambil kira pandangan pihak industri dalam membuat sesuatu dasar tetapi juga mempertimbang keperluan untuk melindungi hak pengguna.

Menurutnya, peruntukan sedia ada dalam peraturan dikekalkan bagi melindungi pengguna, di samping mewujudkan kesalahan sekiranya peniaga membuat pernyataan palsu atau mengelirukan dalam penawaran dan iklan jualan murah.

“Ia bagi menjamin aktiviti perniagaan jualan murah yang diadakan adalah beretika kerana terdapatnya aduan yang diterima bahawa iklan jualan murah yang dipaparkan tidak mencerminkan harga sebenar barangan yang diberi potongan harga jualan murah,” katanya.

Iskandar berkata KPDNHEP juga telah membangunkan aplikasi telefon pintar iaitu MySales Tracker bagi memberi kemudahan kepada pengguna membuat semakan aktiviti jualan murah yang berlangsung di sekitar kawasan mereka.

Melalui aplikasi itu, pengguna boleh membuat carian pantas berkaitan jualan murah berdasarkan jenama atau premis, dan boleh juga membuat aduan sekiranya terdapat mana-mana peniaga yang menjalankan aktiviti jualan murah secara palsu atau mengelirukan.

Beliau berkata penambahbaikan peraturan jualan murah itu yang dilihat lebih mesra peniaga tanpa mengabaikan aspek perlindungan pengguna akan meningkatkan daya saing dalam penawaran harga jualan murah yang akan secara langsung membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast