Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Nepal yang disyaki terlibat dalam insiden seorang pengawal keselamatan dipukul individu tidak dikenali ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, polis menahan lelaki itu pada kira-kira jam 5 petang hari ini di ibu negara.

“Berpandukan maklumat awam dan hasil kerjasama dengan pihak Kedutaan Nepal, pada 3 Ogos 2020, jam lebih kurang 5.00 petang, pihak Polis Wangsa Maju telah menahan seorang lelaki warganegara Nepal yang disyaki terlibat dalam kes ini.

“Suspek berumur 34 tahun kini ditahan di IPD Wangsa Maju untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, suspek ditahan untuk disiasat dalam kes berkenaan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Ujar Rajab, jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara hingga 3 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

“Suspek akan dihadapkan ke mahkamah untuk direman esok hari untuk siasatan lanjut.

“Polis Wangsa Maju kini masih dalam tindakan mengesan mangsa kejadian dan menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat supaya segera tampil untuk membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian ini diminta untuk menyalurkannya dengan cara menghubungi Insp. Shahrul Azzuan Bin Sharom (Pegawai Penyiasat Kes) di talian 016-2014334, ASP M Hussin Sollehuddin Bin Zolkifly (Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Wangsa Maju) di talian 017-2446363, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau manamana Balai Polis berhampiran.

Rakaman video yang memaparkan seorang lelaki memukul pengawal keselamatan tular di laman media sosial pada 31 Julai lalu.