Reaksi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjalan keluar dari perkarangan mahkamah selepas selesai kes bagi tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dan RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Majistret, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 28 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Ramai dalam kalangan masyarakat berpendapat bahawa Datuk Seri Najib Razak telah berkorban dan dikorbankan selepas beliau dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Tinggi atas  tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram milik syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).

Malah bekas Perdana Menteri itu berkata, ramai antara penduduk negara ini berjumpa beliau dan menyuarakan sokongan mereka selepas keputusan hakim diumumkan.

Menurutnya, beliau dihukum kerana membuat kebajikan.

Sebagai contoh, katanya, transaksi yang terlibat dalam kes SRC International termasuk sumbangannya sebanyak RM400,000 kepada Rumah Penyayang Tun Abdul Razak di Pekan bagi kegunaan harian menjaga anak-anak yatim dan kos persekolahan mereka.

Tambah Najib, disebabkan sumbangan itu, beliau dihukum denda sebanyak RM2 juta dan beliau turut didenda RM3.25 juta kerana pernah menghulurkan sumbangan sebanyak RM650,000 kepada UMNO Johor, Pulau Pinang dan Kedah bagi melaksanakan program-program kebajikan mereka.

“Banyak lagi contoh-contoh perbelanjaan seperti ini yang bukannya untuk kepentingan peribadi ataupun untuk keselesaan hidup saya tetapi untuk tujuan rakyat dan untuk parti.

“Sebab itu, ramai yang berjumpa saya untuk menyampaikan salam serta menyuarakan sokongan mereka selepas keputusan hakim diumumkan, berpendapat saya telah berkorban dan dikorbankan selepas saya dijatuhkan hukuman yang amat dahsyat ini,” katanya yang bersiaran secara langsung di laman Facebook malam ini.

Pada 28 Julai lalu, bekas Perdana Menteri itu didapati bersalah atas  tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC SRC.

Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika membacakan kehakiman berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes yang dibawa oleh pendakwaan terhadap tertuduh.

Bagaimananpun, Najib berkata, sebagaimana yang dijelaskan peguamnya pada sidang media selepas keputusan Mahkamah Tinggi minggu lepas, pihaknya percaya hakim telah melakukan kekhilafan daripada segi undang undang semasa membuat keputusan.

Sebagai contoh, katanya, semasa menjatuhkan hukuman, hakim menjelaskan bahawa pendakwa raya tidak pernah membuktikan wujudnya niat jenayah untuk menyalahgunakan wang bagi perbelanjaan peribadi dengan menyebut bahawa lebih 99% daripada wang yang dibelanja dari akaun di bawah namanya adalah untuk perbelanjaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan kegiatan politik.

“Bagaimanapun, saya diarahkaan untuk membayar denda sebanyak RM210 juta ke atas RM42 juta yang diterima di mana 99 peratus dibelanjakan untuk tujuan CSR iaitu RM5 untuk setiap RM1 yang dibelanja, dan hakikatnya ianya bukan perbelanjaan peribadi.

“Seperti saya nyatakan, mahkamah sendiri telah mengesahkan 99 peratus bukan untuk perbelanjaan peribadi,” katanya.

Menurut Najib, berdasarkan sokongan dan dokongan padu yang diterimanya, beliau berikrar akan terus berjuang menentang keputusan amat tidak adil ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau akan memanfaatkan sepenuhnya proses rayuan itu dan akan terus melawan dan berjuang demi rakyat.

“Yang pokoknya saya tak pernah minta mahupun ditawar RM42 juta sebagai rasuah. Pihak Pendakwaraya tidak mengemukakan sekelumit bukti pun yang mengesahkan perkara ini berlaku.

“Sebab tu saya telah melafazkan sumpah Wallahi, Wabillahi , Watallahi di atas hakikat dalam Mahkamah bahawa saya tidak pernah meminta mahupun ditawarkan jumlah tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette

5 Komen

  1. Masyarakat yang menyokong Tuam Najib tu adalah penyokong Umno dan Muafakat Nasional. Ramai juga yang tidak sokong kerana tiada bukti jelas Tuan Najib tak bersalah. SPRM dan saksi pendakwa tiada yang bodoh dan busuk hati nak aniaya Tuan Najib. Hakim Nazlan pun orang bijaksana dan beragama yang pasti menjalankan tugas dengan dedikasi.

  2. Semoga Najib tidak kecewakan Pesara tentera semasa menjadi pm. Betul Cakap Siri itu Allah makbulkan Doa orang teranaya.

  3. hahahaha..kalau bekorban..muhyiddin dah shafiee afdhal tidak dipecat.. banyak masalah timbul sejak di isu 1mdb timbul.. kalau dia bekerban ia tidak akan menjadi serti itu malah dia akan cuba untuk membetulkan kembali..hanya rakyat yang tidak berfikir saja boleh mempercayainya..

Comments are closed.