Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jabatan Luar Negeri Amerika Syarikat (AS) pada Rabu menawarkan ganjaran sehingga US$10 juta untuk maklumat sehingga dapat mengesan dan mengenal pasti mereka yang bekerja dengan atau untuk kerajaan asing, bertujuan mengganggu pilihan raya AS, melalui aktiviti siber haram.

Ganjaran yang ditawarkan di bawah program Rewards for Justice (RFJ) itu, bertujuan untuk mengesan dan kenal pasti mana-mana individu yang bertindak atas arahan atau di bawah kawalan kerajaan asing, mencampuri mana-mana pilihan raya persekutuan, negeri atau tempatan dengan membantu atau bersubahat, melakukan pelanggaran mengikut seksyen 1030 bab 18, berkaitan penipuan dan penyalahgunaan komputer.

“Orang yang terlibat dalam operasi siber yang mempunyai niat jahat untuk menyasarkan pilihan raya atau infrastruktur kempen boleh didakwa di bawah Akta Penipuan dan Penyalahgunaan Komputer,” kata jurucakap pejabat Jabatan Negara AS menerusi kenyataan media yang disiarkan di laman webnya.

Akta itu juga melarang akses komputer untuk mendapatkan maklumat tanpa kebenaran dan menyebarkannya kepada penerima yang tidak dibenarkan.

Menurut kenyataan itu lagi sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai campur tangan asing dalam pilihan raya AS diminta menghubungi pejabat RFJ melalui laman web atau e-mel ([email protected]), atau menghubungi Pegawai Keselamatan Wilayah di kedutaan atau konsulat AS terdekat.

Sejak dimulakan pada 1984, program RFJ yang dikendalikan Perkhidmatan Keselamatan Diplomatik sudah membayar lebih US$150 juta kepada lebih 100 orang yang memberikan maklumat dari seluruh dunia.

Pada 2018, Jabatan Kehakiman mendakwa seramai 12 warga Rusia, sebagai sebahagian siasatan Penasihat Khas Robert Mueller mengenai campur tangan Rusia dalam pemilihan Presiden 2016.

Penggodam dikatakan mencuri maklumat 500,000 pengundi dari laman web negara yang tidak disebutkan namanya.

Pada 2019, Microsoft mengatakan penggodam Iran menyerang lebih 200 akaun e-mel untuk menyasarkan pilihan raya presiden AS 2020.- BERNAMA