Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menjual sebanyak 27,858 unit kenderaan pada Oktober 2021 berikutan peningkatan pengeluaran dan penghantaran kenderaan yang pantas kepada para pelanggannya serta mencapai sasaran untuk menghantar sebanyak mungkin kenderaan pada suku keempat 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Perodua mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 9.2 peratus kepada 23,203 kenderaan pada Julai berbanding bulan sebelumnya.

Ini menjadikan jumlah jualan keseluruhan setakat tahun ini meningkat kepada 97,373 unit.

Syarikat pengeluar kenderaan itu dalam kenyataannya menjangkakan penguasaan pasaran Julai adalah 40 peratus manakala penguasaan pasaran setakat tahun ini adalah 42 peratus diterajui oleh Myvi, Axia dan Bezza.

“Sejak kembali beroperasi selepas penutupan selama dua bulan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jualan kami telah meningkat kembali dengan cepat, didorong pengecualian cukai jualan oleh pihak kerajaan yang akan berlangsung sehingga akhir tahun.

“Sekiranya perkembangan ini berterusan, jumlah jualan yang menggalakkan ini akan membolehkan kami membantu eko-sistem pembekal dan pengedar automotif pada masa yang sukar ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Ketiga-tiga model popular keluaran Perodua itu menduduki tangga teratas dari segi jualan setakat tahun di Malaysia dengan Myvi merekodkan 29,313 jualan diikuti Axia (28,107) dan Bezza (25,416).

Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) menganggarkan bahawa jumlah keseluruhan industri (TIV) sekurang-kurangnya 500,000 unit diperlukan tahun ini untuk memastikan kelangsungan eko-sistem automotif.

“Di sebalik krisis COVID-19 ini, kami menyedari bahawa kami harus bekerja pada kapasiti penuh untuk membantu ekonomi Malaysia dan melindungi pekerjaan.

“Sebagai peneraju pasaran, keutamaan Perodua adalah untuk terus menawarkan produk dan perkhidmatan terbaik untuk memaksimumkan kepuasan pelanggan. Kami komited untuk terus menawarkan nilai yang lebih baik kepada semua rakyat Malaysia dari segi harga yang berpatutan, kualiti, teknologi dan ciri-ciri canggih yang terbaharu.

“Semua model semasa Perodua mempunyai kandungan komponen tempatan lebih 90 peratus dan disebabkan skala ekonominya, alat ganti servis ditawarkan pada harga yang berpatutan dan mudah didapati, memberikan para pelanggannya ketenangan minda yang menyeluruh,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast