Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan berhubung kes projek terowong dasar laut Pulau Pinang di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan meminta suapan 10 peratus projek terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Suapan itu didakwa telah diminta oleh Guan Eng sendiri daripada Pengarah Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd(KZCSB), Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Kesalahan itu dilakukan di Hotel Gardens, Midvalley sekitar tahun 2011 dan ketika itu Guan Eng masih lagi menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagaimanapun Guan Eng yang merupakan Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan mengaku tidak bersalah dan mahu di bicarakan.

Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai juga sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) itu.

Prosiding masih lagi berjalan di hadapan Hakim Mahkamah Seksyen, Azura Alwi ketika ini dengan pendakwaan serta pembelaan terus berhujah. – MalaysiaGazette