PUTRAJAYA – Parti baharu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang ditubuhkan berpunca daripada masalah dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Husein Onn menjelaskan, keputusan Mahathir itu tidak melibatkan parti-parti lain di negara ini.
Beliau yang juga Menteri Luar bagaimanapun berkata, sekiranya ahli politik terus bercakaran dan banyak parti baharu ditubuhkan, ia akan memberi kesan tidak baik kepada negara luar.
“Saya percaya (parti baharu) adalah masalah dalaman Bersatu dan tidak kena dengan parti-parti lain.
“Saya ingin ingatkan semua politikus bagi meraikan kewujudan ASEAN ke-53 hari ini, apa yang berlaku adalah political will dan keadaan stabil.
“Kalau kita terus bercakaran dan tubuh banyak parti akan wujud keadaan negara yang tidak stabil.
“Ia akan bawa kesan kepada negara serantau dan diperhatikan negara lain di ASEAN.
“Yang penting semua pihak kena bertanggungjawab kerana apa yang kita lakukan akan beri kesan kepada anak cucu kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang selepas menghadiri Sambutan Hari ASEAN ke-53 di kementeriannya di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri.
Hishammuddin diminta mengulas tindakan Mahathir yang mengumumkan hasrat menubuhkan parti baharu pimpinannya hari ini.
Bekas Pengerusi Bersatu itu berkata, beliau ingin menubuhkan parti baharu dan tidak akan menyokong kerajaan mahupun pembangkang.
Jelas beliau, parti itu akan jadi kuasa ketiga dalam politik negara.
“Kita bebas dan boleh buat keputusan untuk sertai mana-mana parti,” kata Mahathir dalam sidang media di Yayasan Bukhari di sini hari ini. – MalaysiaGazette