Presiden Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kek sambil diperhatikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Xavier Jayakumar ketika hadir ke Majlis Jelajah Presiden ke Selangor di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Shah Alam, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 07 OGOS 2020.

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) sedia mempertimbangkan permohonan mana-mana parti politik termasuk parti baharu yang akan ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai komponen gabungan itu.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan untuk menyertai PH.

“Dia (Mahathir) tak minta pun, kalau dia minta…kita timbangkanlah, biar dia minta dulu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Jelajah Presiden PKR ke Selangor di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor malam ini.

Beliau mengulas kenyataan Mahathir petang tadi yang mengumumkan untuk mewujudkan parti baharu yang tidak terikat dengan mana-mana blok, sama ada PH mahupun Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya Mahathir mahu parti baharunya itu akan menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Ketika ditanya tentang pendirian parti baharu itu yang akan bersifat bebas daripada mana-mana parti campuran, Anwar berkata pihaknya akan memantau perkara itu dari semasa ke semasa.

“Tun baru umumkan nak tubuh parti baru, tengoklah, kita ikuti.

“Itu hak dan keputusan, biarlah tak perlu saya nak ulas (kewajaran tubuh parti baharu). Dia sepenuhnya bebas, itu kita tengoklah, tapi untuk PRK Slim, dia minta PH kerjasama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette