Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diiringi Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid (kanan) meluangkan masa melawat pameran gambar pada Hari Solidariti Untuk Kashmir di Intercontinental Hotel, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 08 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu berjuang mempertahankan Kashmir selepas beliau kini tidak lagi berada dalam kerajaan.

Dr Mahathir mendakwa beliau tersekat untuk melakukan perkara tersebut ekoran menerima ancaman tertentu dari India yang akhirnya mengancam Malaysia untuk memboikot minyak sawit.

“Sekarang saya tidak lagi menjadi Perdana Menteri, saya berpendapat bahawa saya sekarang boleh bercakap tanpa sekatan dalam menangani isu Kashmir tanpa ancaman, boikot dan sebagainya.

“Mereka yang membuat ancaman ini merasakan sebagai Perdana Menteri Malaysia ketika itu, saya seharusnya lebih diplomatik dalam ucapan saya dan mereka telah menyalahertikan kata-kata saya,” katanya ketika berucap pada Majlis Solidariti untuk Kashmir.

Dr Mahathir berkata, beliau memilih untuk bersuara mengenai perkara itu walaupun menyedari kemungkinan akan ada reaksi balas daripada pihak tertentu.

Beliau menegaskan, berdiam diri bukanlah pilihan yang baik dalam isu berkenaan sebaliknya mempertahankan Kashmir sebagai sebuah negara kecil adalah lebih penting.

Disebabkan itu, tambahnya, ucapan beliau pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu PBB pada September tahun lalu dianggap ringan oleh pihak tertentu.

“Saya tidak meminta maaf atas apa yang saya katakan. Ia telah mempengaruhi eksport minyak sawit kita ke India.

“Saya tidak tahu apakah itu harga yang tinggi untuk membayar bagi menentang ketidakadilan tersebut,” ujarnya.

Kashmir kini menjadi sebahagian dari India selepas New Delhi menghapuskan Perkara 370 dan 35A dalam perlembagaannya pada 5 Ogos tahun lalu, sekaligus menggugurkan status istimewa Jammu dan Kashmir.Untuk mengelak rusuhan, India menguatkuasakan perintah berkurung terhadap Kashmir secara penuh.

Jammu dan Kashmir menjadi wilayah yang tertindas di mana tragedi kemanusiaan terburuk berlaku hampir setiap hari sejak tahun 1947.

India bertindak menghantar tambahan 40,000 tentera ke Kashmir walaupun yang sedia ada sudah melebihi 500,000 askar sekaligus menjadi wilayah paling padat dengan operasi ketenteraan di dunia.

Perintah berkurung untuk tempoh 24 jam sejak 5 Ogos 2019 sehingga ke hari ini dikuatkuasakan.   MalaysiaGazette

1 Komen

  1. bullshit…dlm kes China ganyang Org Islam, hang diam plak..kecut teloq! munafik punya Atok

Comments are closed.