KUALA LUMPUR – Indeks petunjuk pasaran, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka bergerak pada paras 1,578 hingga 1,600 minggu depan, dengan kaunter penjagaan kesihatan, berkaitan teknologi dan bermodal kecil dijangka menjadi tumpuan pelabur.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee Shen Pin berkata, pergerakan pusingan dana dilaburkan daripada satu industri kepada industri lain dalam kalangan saham yang disasarkan mungkin menguasai sentimen pasaran dengan jumlah dagangan kekal tinggi.

“Kami berpandangan pasaran dijangka mengalami aliran yang sama, dalam keadaan memuncaknya ketegangan di antara Amerika Syarikat (AS) dengan China, termasuk melibatkan isu teknologi,” katanya.

Sementara Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, AxiCorp, Stephen Innes berkata walaupun bursa serantau merupakan pasaran yang agak lebih selamat untuk dagangan berbanding AS, pelabur masih perlu berwaspada apabila rundingan perdagangan AS-China berlangsung minggu depan pada 15 Ogos.

“Satu perkara yang tidak boleh dipastikan, namun saya menjangkakan FBM KLCI mencecah paras 1,600 minggu depan sekiranya hasil perbincangan positif dicapai oleh kedua-dua kuasa ekonomi itu,” katanya.

Beliau berkata kestabilan dan kekukuhan ringgit akan menarik pelabur asing untuk melabur terutama dalam saham berkaitan kesihatan.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim pula berkata fokus utama minggu depan adalah data Keluaran Dalam Negara Kasar suku kedua 2020 Malaysia yang akan dibentangkan pada Jumaat.

Beliau berkata ia dijangka menunjukkan penurunan seterusnya disebabkan kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Walaupun begitu, kami percaya bahawa pasaran telah menjangkakan prestasi ini.

“Kami masih mengharapkan indeks penanda aras didagangkan di antara 1,550 dengan 1,600 minggu depan, kecuali jika ada pemangkin positif baharu seperti penemuan dalam perkembangan vaksin Covid-19,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, indeks utama, FBM KLCI rendah kebanyakannya namun ditutup pada 1,603.75, dengan jumlah dagangan sepanjang masa yang tinggi sebanyak 26.65 bilion saham bernilai RM9.04 bilion pada Jumaat.

Pada minggu ini, pasaran sangat tertumpu kepada pembelian dan penjualan saham penjagaan kesihatan, teknologi, FBM ACE, dan saham berharga murah.

Indeks itu susut 25.61 mata untuk ditutup pada 1,578.14 pada Jumaat daripada 1,603.75 pada Khamis minggu sebelumnya.

Bursa Malaysia Bhd dan anak-anak syarikatnya ditutup pada Jumaat 31 Julai, 2020 susulan cuti umum sempena sambutan Aidiladha.

Di papan skor, Indeks FBM Emas susut 47.56 mata kepada 11,366.37, Indeks FBMT 100 kurang 75.27 mata kepada 11,178.80 namun Indeks FBM Emas Syariah menokok 58.02 mata kepada 13,497.55.

FBM 70 meningkat 314.89 mata kepada 14,810.47 dan Indeks FBM ACE melonjak 1,781.63 mata kepada 10,316.51.

Indeks penjagaan kesihatan menambah 374.13 mata kepada 4,301.40 dan Indeks Teknologi naik 3.71 mata kepada 54.74.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 249.42 mata kepada 12,916.09, Indeks Perladangan turun 183.76 mata kepada 6,963.75 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 0.16 mata kepada 140.97.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 87.66 bilion unit bernilai RM44.56 bilion daripada 45.91 bilion unit bernilai RM26.58 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama menokok kepada 42.45 bilion saham bernilai RM29.18 bilion daripada 20.61 bilion saham bernilai RM17.78 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran sebanyak 4.07 bilion unit bernilai RM1.64 bilion berbanding 3.84 bilion unit bernilai RM1.52 bilion.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula menambah kepada 41.11 bilion saham bernilai RM13.72 bilion daripada 21.44 bilion saham bernilai RM7.27 bilion minggu lepas. – MalaysiaGazette