Setien bersedia menghadapi sebarang kemungkinan di Nou Camp selepas aksi Liga Juara-Juara Eropah menentang Napoli awal pagi nanti

MADRID – Quique Setien tidak kisah sekiranya dipecat oleh Barcelona selepas aksi timbal balik pusingan ke-16 kempen Liga Juara-Juara Eropah menentang Napoli awal pagi ini.

Pengurus skuad the Catalans itu berkata, dia sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan di Nou Camp nanti.

Laporan mendakwa aksi Barcelona menentang Napoli malam ini akan menjadi tugas terakhirnya rentetan aksi hambar pasukan sehingga membiarkan gelaran La Liga dirampas musuh tradisinya Real Madrid.

Setien dilantik sebagai pengurus baharu pada Januari lalu, namun masa depannya kini terumbang-ambing ekoran prestasi pasukan yang hambar.

Kegagalan mengutip mata penting dalam aksi La Liga di tempat lawan mengakibatkan pasukan itu keciciran mata sehingga menjejaskan peluang menjulang gelaran La Liga musim ini.

Malah, ia juga mengakibatkan perang mulut antara jurulatih itu dan beberapa pemain bintang dalam kelab tersebut.

“Saya tidak kisah sekiranya esok adalah aksi terakhir saya.

“Saya sekarang memberi fokus kepada pasukan menjelang aksi lawan Napoli.

“Saya tidak mahu membincangkan mengenai isu tersebut,” katanya.

Kini Setien mempunyai ujian asid untuk memastikan aksi malam ini memihak kepada pasukannya mengelak kritikan dan pemecatan selepas kehilangan gelaran La Liga musim ini.

Dalam 12 kempen Liga Juara Eropah sebelum ini, Barcelona berjaya menang dan melangkah ke suku akhir dalam kesemua penampilan itu kecuali semasa kendalian Louis van Gaal pada musim 1997 apabila sekadar seri 2-2 menentang PSV Eindoven.-MalaysiaGazette